01 November 2022

HAMPIR 25 TAHUN KELANTAN TIADA PAWAGAM - SYED AIMAN RAYU DIBENARKAN BEROPERASI SEMULA, AKAN PATUH SYARIAH



"Semua orang tahu di Kelantan, tiada panggung wayang. Sekarang ini, warga Kelantan kalau mahu menonton wayang, kena pergi Terengganu kerana negeri itu paling dekat.


"Tetapi dengan adanya sesi dialog bersama Exco kerajaan negeri, mungkin kita boleh dapat jawapan dalam usaha mewujudkan panggung wayang di Kelantan. Sebenarnya, panggung wayang di mana-mana pun boleh buat, cuma di Kelantan, ada syarat yang perlu dipatuhi.

"Antaranya dulu pernah kata boleh nak bina panggung wayang tapi tempat duduk perempuan dan lelaki diasingkan. Selain itu, pada waktu Maghrib tiada tayangan filem.

"Syarat seperti itu, bagi saya mudah, kita boleh ikut," ujar pelakon Syed Aiman yang merayu kerajaan Kelantan untuk mempertimbangkan cadangan agar pawagam patuh syariah dibenarkan untuk beroperasi di negeri itu.

Syed Aiman atau nama penuhnya Syed Aiman Syed Mahmud, 47, berkata, dia berharap kerajaan negeri mendengar permintaan penggiat seni yang mahukan pawagam beroperasi di Kelantan.

Permohonan itu dikemukakan kepada kerajaan Kelantan oleh urus setia majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan melalui sesi dialog yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, Panggung Lido di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu menjadi pawagam terakhir beroperasi di Kelantan sehingga 1996, sebelum dirobohkan setahun kemudian.

Berikutan itu, hampir 25 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang dan rakyat negeri itu perlu pergi ke Terengganu untuk menonton filem di pawagam.

Menurut Syed Aiman, dia tidak menyangka permohonannya agar pawagam beroperasi di Kelantan mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri itu.

"Kerajaan negeri tidak terus tolak cadangan itu. Disebabkan demikian, ada sesi dialog yang membincangkan mengenai kehendak penggiat seni. Setakat ini, Alhamdulillah, ada nampak sinar.

"Alhamdulillah, kerajaan sudah ambil maklum perkara ini. Jadi, dengan kebijaksanaan kerajaan negeri, saya percaya mereka akan mempertimbangkannya. Kami cuba mengusulkan perkara ini, namun, keputusan dan kelulusan di tangan mereka," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: