03 November 2022

HANYA MAHU BANTU, PENGANJUR KECEWA MARUAHNYA TERCALAR: "SEMUA KEUNTUNGAN BERI PADA ZAMANI... SAYA TIDAK TERGAMAK INGIN AMBIL"



"Saya bukan hendak memperbesarkan hal ini namun saya perlu membersihkan nama saya. Jujurnya saya kecewa dengan kenyataan dibuat Juliana (isteri Zamani) kerana ia mencalarkan maruah saya. Saya ikhlas ingin membantu dia. Sewaktu dia sakit, mana kawan-kawan dia yang lain?


"Saya dah cuba telefon Zamani tapi dia mendiamkan diri. Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan antara kami, tak perlu pun di bawa keluar," ujar penganjur Konsert Doa Buat Zamani iaitu Aalan Ahmad, 49, yang memberitahu maruah dirinya tercalar dengan tuduhan dilemparkan oleh isteri Zamani iaitu Nur Juliana Abdul Rani terhadapnya baru-baru ini.

Ditemui pada sidang media tergempar yang diadakan di Ampang pada Khamis, Aalan yang mewakili syarikatnya Indera Entertainment itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat buruk terhadap Zamani sebaliknya hanya ingin membantu bekas vokalis kumpulan Slam itu mencari dana bagi menampung pembedahannya.

Terdahulu, Juliana menerusi status di aplikasi WhatsApp mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran selepas menjayakan konsert berkenaan yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 31 September lalu.

Klik untuk gambar besar



Dakwa wanita berkenaan, dia terkilan apabila Zamani diperlakukan sedemikian apatah lagi keadaan kesihatan penyanyi itu tidak baik ketika ini.

Dalam pada itu, Aalan memberitahu, dia sudah cuba menghubungi Zamani sejak tiga hari lalu bagi menyelesaikan isu berkenaan namun penyanyi itu memilih untuk tidak menjawab panggilan dibuat.

Tambahnya, masalah itu sebenarnya boleh diselesaikan di antara mereka dan tidak perlu didedahkan kepada pengetahuan umum.

Aalan dalam masa sama turut mendedahkan perkara sebenar dengan mendakwa konsert berkenaan sebenarnya kurang mendapat sambutan penonton namun sebagai penganjur dia tetap cuba menjayakan agar ia nampak meriah.

Katanya, pihaknya terpaksa memberikan tiket secara percuma kepada ahli kelab peminat bagi memenuhkan ruang konsert agar ia tidak kelihatan hambar.


"Saya sebenarnya tidak mahu memberitahu hal ini kerana ia memalukan Zamani tetapi tiket hanya terjual sebanyak 367 keping berbanding kapasiti lokasi yang boleh menampung lebih 1,000 penonton.

"Itu pun disebabkan kami akan menjual konsert ini kepada stesen TV dan tiket diedarkan secara percuma bagi menampakkan penganjurannya meriah," katanya.

Maklum Aalan, keuntungan konsert berkenaan hanya sebanyak RM4,635 setelah menolak semua kos keseluruhan penerbitan acara berkenaan.

"Semua keuntungan itu saya beri pada Zamani walaupun mengikut persetujuan perlu diagihkan 70 peratus kepadanya dan 30 peratus untuk saya. Tapi saya tidak tergamak ingin mengambil duit konsert kerana nilainya yang sedikit," katanya.

Untuk makluman, tahap kesihatan Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, 51, semakin merosot akibat penyakit scoliosis yang dihidapi sejak empat tahun lalu. Penyanyi itu turut bergantung kepada ubat tahan sakit setiap hari sementara menunggu pembedahan yang dijadualkan pada minggu depan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: