03 November 2022

NASIB YASIN SULAIMAN DIKETAHUI 15 DISEMBER DEPAN - PENDAKWA RAYA PERLU LEBIH MASA TELITI REPRESENTASI



"Saya optimis sebab representasi saya agak panjang dengan 47 muka surat, di situ terdapat rekod kesihatan dan segala keperluan berhubung rawatan saya. Mungkin pihak pendakwaan memerlukan lebih masa bagi meneliti dokumen berkenaan tetapi saya optimis dengan kebijaksanaan dan belas ehsan pihak pendakwaan terhadap kes ini."


Itulah tutur penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman yang optimis terhadap sebarang keputusan berhubung representasi bagi tiga pertuduhan berkaitan dadah yang ditangguhkan pada Disember ini.

Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, berkata, penangguhan itu disebabkan pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk meneliti representasi yang difailkan pihaknya sebelum ini.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menangguhkan keputusan representasi bagi tiga pertuduhan berkaitan dadah dihadapi Yasin pada 15 Disember depan. Keputusan itu dibuat Hakim Jamaludin Mat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memberitahu mahkamah pihaknya masih mempertimbangkan representasi yang dikemukan pihak pembelaan tertuduh.

Dalam pada itu, peguam mewakili Yasin iaitu Ariff Azami Hussein pula memberitahu, pihaknya sedia maklum representasi yang dikemukakan perlu dirujuk kepada Jabaran Peguam Negara (AGC) yang memerlukan lebih masa sebelum keputusan dibuat. Bagaimanapun pihaknya berharap keputusan dapat dibuat pada tarikh sebutan akan datang seperti dipersetujui.

Mengikut pertuduhan, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).



Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sam.

Mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.



Yasin turut didakwa atas pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi lagu 'Mimpi Laila' itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: