24 November 2022

HARI LAHIR AWIE YANG KE-54 DISAMBUT DI MAKKAH



Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan ulang tahun kelahiran Datuk Awie yang ke-54 hari ini berbeza apabila penyanyi itu diraikan rakan-rakannya di Makkah. Semua rakan jemaah turut menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu buat Awie yang masih utuh bertahan dalam industri hiburan.


Menerusi Facebook Maulana Helmi, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman diraikan jemaah lain termasuk anggota Wings yang turut sama mengerjakan umrah bersamanya sejak 16 November lalu.

"Terima kasih banyak-banyak. Syukur dalam banyak-banyak tempat, kita ditemukan di Makkah al Mukarramah ini. Saya sangat-sangat gembira dan terima kasih Datuk Mat yang merealisasikan impian ini untuk membawa bersama sahabat dunia akhirat saya, Wings. Terima kasih banyak-banyak kerana mempercayai saya," katanya yang kelihatan sangat ceria.

Klik untuk gambar besar



Awie memaklumkan di awal pembabitan dalam bidang seni, dia dan Sham menubuhkan Wings dengan rock & roll: "Tapi di akhir-akhir penghujung ini kita tubuhkan satu kumpulan baru lagi 'Wings On Fire' pergi umrah. Terima kasih banyak-banyak sebab doa-doa semua," ujarnya.

Terdahulu, Wings mengumumkan bakal berehat panjang sebaik pulang dari mengerjakan umrah dan akan menyusun semula jadual seni selepas Aidilfitri, tahun depan.

Namun, mereka akan beraksi buat kali terakhir menerusi Konsert Wings Ceritera Rakyat yang akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 3 Disember ini sebagai penutup 2022.

Konsert terbabit diadakan sempena malam kemuncak Festival Folklore Antarabangsa Petaling Jaya (PJ Folklore) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bermula 28 November hingga 4 Disember ini.

Ia membabitkan 31 program secara percuma seperti PJ Fight Night (MMA), Pocket Show, Asian Food Festival, Pameran Busana & Jualan Pelbagai, Wayang Kulit (Pok Chu), Dikir Barat (Issey), Persembahan Kebudayaan Antarabangsa dan lain-lain.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: