25 November 2022

ISMAIL IZZANI DIKECAM, DIMINTA BERTAUBAT - IBU TAMPIL BERSUARA



"Baik-baik aku okey dengan dia ni, terus benci. Geli!" - "Kecewa dengan dia ni. Kaki kelab rupanya." - "Dulu lain, sekarang lain. Sekali Allah tarik nikmat dahulu. Semua boleh berubah. Ismail, kembalilah ke jalan yang benar.


"Saya peminat awak support semua lagu awak. Tapi bila kes macam ini saya memang kecewa. Kita ada agama, ada benda boleh buat dan tidak." - "Tolong jangan melampaui batas. Saya harap dengan terbuka aib awak ini, awak dapat muhasabah diri. Buat solat taubat dan jaga air muka keluarga.

"Allah beri ujian sebab sayang. Ingat Mail, mak ayah bangga awak jadi artis dan ada pendapatan sendiri. Jangan hancurkan hati mereka. Ini baru sikit Allah jentik. Moga Mail jadi lebih baik."

Itulah antara komen-komen peminat yang meluahkan rasa kecewa, marah selain ada yang memberi nasihat buat penyanyi Ismail Izzani supaya berubah dan sentiasa menjaga nama baik keluarga.

Klik untuk gambar besar



Nama Ismail Izzani kembali menjadi sasaran pengguna laman sosial selepas tular video seorang lelaki dikatakan mirip wajahnya berpelukan sambil menari dan kemudian mencium pipi dan leher seorang wanita yang berpakaian seksi di sebuah kelab malam.

Gara-gara rakaman tersebut, peminat meluahkan rasa marah dan mahukan penjelasan daripada penyanyi berusia 22 tahun itu. Bukan hanya Ismail, malah ibu kepada penyanyi berkenaan turut menjadi mangsa kecaman pengguna laman sosial di media sosial.

Rata-rata mereka menyalahkan ibu Ismail iaitu Datin Suliza Salam, 57, yang didakwa tidak pandai menjaga anak selain memintanya menegur penyanyi berkenaan memandangkan ini bukan kali pertama dia terlibat dalam kontroversi.

Tidak mampu lagi berdiam diri, Suliza dilihat membalas komen biadab pengguna laman sosial yang disifatkan sebagai seronok mengutuk dan melemparkan fitnah terhadap dirinya dan keluarga.



Kata Suliza, hanya Allah mampu memberi keampunan dan mengubah perbuatan manusia dan bukannya menerusi kata-kata orang lain.

"Nak, kamu nanti belum tahu juga, kan? Mengata anak orang memang seronok. Pengakhiran hidup siapa-siapa belum tentu. Allah yang Maha Pengampun. Bukan kata-kata orang yang akan ubah dia atau sesiapa juga, tetapi Allah. Fahamkan itu ya," tuturnya.

Dalam pada itu, Suliza yang juga penyanyi era 1980-an, memberitahu dia menghargai segala teguran dan mendoakan pengguna laman sosial agar Allah menjaga aib mereka.

"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih atas tunjuk ajar dan teguran. Semoga Allah melindungi dan merahmati kamu sekeluarga. Dijauhkan daripada segala aib dan musibah," ujarnya.



Sementara itu, pengguna laman sosial masih meluahkan rasa tidak puas hati dan meninggalkan komen sarkastik berhubung kontroversi melanda Ismail di Instagram Suliza.

"Nak bertanya, Mail dah kena rotan belum? Sudah-sudahlah back up anak, benda sangat jelas," komen pengguna laman sosial itu.

Usaha untuk mendapatkan penjelasan Ismail berhubung isu tersebut bagaimanapun tidak berjaya apabila panggilan dan mesej dihantar tidak berjawab.

Untuk makluman, ini bukan kali pertama nama penyanyi lagu 'Luar Biasa' itu mencetuskan kontroversi, malah pernah mencetuskan kemarahan peminat apabila pernah berpelukan dengan seorang rakan artis senior pada 2018.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: