21 November 2022

JALANI PEMERIKSAAN BERKALA DI HOSPITAL - EBBY YUS KINI TERPAKSA BEREHAT, TIDAK BOLEH TERLALU AKTIF BEKERJA



Pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu untuk rawatan bulan lalu, pelawak dan pelakon Ebby Yus memaklumkan, dia kini terpaksa berehat seketika dan tidak boleh terlalu aktif bekerja lagi akibat penyakit dihidapi iaitu masalah jantung dan buah pinggang.


"Pada mulanya hanya terpelecok kaki kanan semasa nak keluar rumah bagi menghadiri satu majlis alumni sekolah kerana saya dipilih sebagai pengacara pada 26 September lalu. Jadi, sebab dah janji dan saya juga salah seorang alumni, kenalah tunaikan.

"Tapi, sakitnya kaki itu jangan cakaplah, memang tak boleh nak tahan pun. Tapi, saya teruskan bekerja sampailah tak boleh jalan dan masuk hospital untuk rawatan.

"Jadi, tersangkutlah semula dengan masalah jantung dan buah pinggang. Malah, saya hampir nak kena buat dialisis sebab buah pinggang rosak di tahap lima," jelasnya

Klik untuk gambar besar



Ebby Yus berkata, bagaimanapun kini dia amat menjaga kesihatan diri dan perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital mengikut temujanji dibuat doktor. Tambanya, dua minggu lagi dia akan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan jantung dan buah pinggang.

Sementara itu, mengenai rumah baharunya, Ebby memberitahu, kediaman pemberian kerajaan yang dibina di tapak asal rumahnya yang musnah dihanyutkan banjir di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat pada Disember tahun lalu, sudah siap sepenuhnya dan mendapat kunci.

"Alhamdulillah, rumah baharu saya dah lama siap dan sudah dua bulan dapat kunci. Tapi, saya masih tak dapat masuk lagi ke rumah itu kerana kerja-kerja pemulihan sungai dan pembinaan jambatan belum siap.

"Saya pun tak fikir lagi sama ada nak buat ubah suai dalam rumah itu kerana masih trauma dengan kejadian banjir yang lalu. Lagipun, sekarang dah musim hujan dan ada kawasan lain mengalami banjir lagi. Jadi, saya bimbang nak cantikkan rumah.

"Biarlah dulu dan saya tak mahu fikir pun mengenai nak buat ubah suai. Saya pun nak kena sihatkan badan. Masuk duduk di rumah itu pun belum berpeluang lagi, masih kena tunggu semua kerja-kerja dibuat selesai," katanya.

Terdahulu, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 57, difahamkan menerima sumbangan kerajaan berbentuk rumah mesra rakyat bernilai RM56,000 yang dibina di tapak asal rumahnya yang musnah dihanyutkan banjir di Hulu Langat, sebelum ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: