18 November 2022

"KALAU BETUL BEKAS SUAMI SAYA, DIA DAH JADI MASA LALU..." - AMELINA ENGGAN KOMEN, BIAR POLIS SIASAT



Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi selama satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.


Mengenai kes penderaan yang didakwa membabitkan bekas suaminya, selepas tular video tindakan kejam seorang lelaki terhadap seorang wanita, penyanyi dangdut, Amelina, 48, berkata sekiranya benar individu itu adalah bekas suaminya seperti yang didakwa, bukan haknya untuk keluarkan sebarang kenyataan.

"Saya tak boleh nak komen apa-apa, biar polis jalankan siasatan. Kalau betul dia adalah bekas suami saya, dia dah jadi masa lalu saya. Maknanya, dia dah tak ada kena mengena dengan saya. Jadi, saya mohon agar tidak dikaitkan lagi isu ini dengan saya," ujar Amelina yang dipetik sebagai kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada, dia pernah menonton video yang tular itu, Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin memberitahu yang dia enggan menonton video itu.

"Saya tak mahu menonton video itu," kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Memori Daun Pisang' dan 'Asyik' itu.

Pernah melalui fasa perkahwinan dan penceraian, Amelina menjawab persoalan mengenai keputusannya untuk bercerai selepas mengambil masa selama 15 tahun sebelum nekad.

Klik untuk gambar besar



"Saya sendiri mengambil masa 15 tahun untuk membuat satu keputusan yang paling tepat sebab saya tak mahu merisikokan orang di sekeliling," jelasnya.

Diminta mengulas mengenai isu kekerasan dalam rumah tangga yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, Amelina berkongsi mengenai kesan dan trauma yang dialami mangsa.

"Jangan hina mangsa kekerasan dalam rumah tangga. Mereka yang berada dalam situasi ini sebenarnya terikat dengan beberapa perkara iaitu ketaatan kepada agama, suami dan persekitaran.

"Kesannya bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga mental dan bagi mereka yang pernah mengalaminya, ia meninggalkan trauma yang besar.

"Jangan terlalu 'menekan' mereka yang menjadi mangsa ini. Janganlah dikata mangsa-mangsa ini, bodoh. Hanya Allah yang tahu, apa yang mereka rasakan," tuturnya.

Terdahulu, Amelina yang mempunyai enam orang anak itu pernah berumah tangga dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 dan bercerai pada 29 Jun 2016.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: