26 November 2022

"KEDUA-DUA BELAH KAKI SAYA SEPERTI ORANG LUMPUH" - SHAHRIZA MAHMUD AKUI KEHIDUPAN SEMAKIN SUKAR



"Memang orang kata bila dah sedar, dah keluar dari ICU (Unit Rawatan Rapi) orang ingat saya dah sembuh. Hakikatnya kedua-dua belah kaki saya sekarang seperti orang lumpuh.


"Mulanya saya terfikir ia baru lagi dan nanti kaki akan kuat semula, tapi nampaknya kaki memang lembik dan tak boleh nak pijak langsung. Saya disahkan mengalami sakit saraf dan sakitnya tak mampu digambarkan.

"Ambil pil penahan sakit pun tak boleh hilang," ujar pelakon Shahriza Mahmud, 56, yang memaklumkan kehidupannya semakin sukar sejak dijangkiti kencing tikus pada 1 Januari tahun lalu sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk berjalan seperti dulu.

Kata Shahriza, dia dan suami, Saddiq Raffali, 41, berdepan ujian untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan serta membiayai kos rawatan penyakitnya. Shahriza berkata, dia cuba bersikap positif meletakkan harapan untuk kembali berjalan pada Mei lalu, namun tetap gagal.

Klik untuk gambar besar



"Macam-macam perancangan termasuk menjalani fisioterapi, tapi sebab lama sangat duduk atas katil sekitar sembilan hingga 10 bulan, saya semakin tak berdaya.

"Walaupun duduk atas katil saya tetap buat macam-macam juga seperti berniaga dalam talian. Kerja saya selama 24 jam mengadap telefon. Saya cuba nak usaha kerja atas komisyen. Buat jualan beribu-ribu tapi yang untungnya orang lain. Kesudahannya memang tak cukup," tuturnya.

Tambah Shahriza, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia terpaksa menutup kafe yang diusahakan bersama suami. Kongsinya lagi, mereka kini terpaksa berusaha mencari pendapatan dengan apa cara sekalipun, kerana bantuan dan sumbangan dari persatuan artis hanya bersifat sementara.

"Selepas itu kami buat persediaan tempah 'food trailer' kerana fikir masa PKP kedua boleh usaha berniaga cara itu. Ketika itu saya masih sihat. Bila masuk ICU baru 'food trailer' sampai. Jadi saya dah terikat dengan hutang sebanyak RM880 sebulan. Masa itu saya fikir saya akan kuat semula bulan berikutnya.

"Saya tak sabar nak berniaga tapi penyakit saya tetap tak sembuh sedangkan 'food trailer', rumah, kereta dan pelbagai lagi kena bayar. Masa PKP pertama dapat moratorium kereta. Tapi lepas keluar wad, bank telefon katanya kereta dah empat bulan tak bayar.

"Saya sakit agak lama. Memang perlukan wang untuk beli lampin pakai buang, susu untuk kuatkan kaki, ubat, fisioterapi dan banyak lagi. Mungkin orang tak nampak itu semua.

"Bekalan elektrik di rumah kami pernah dipotong. Kami kemudian berniaga di sebuah lokasi selepas Aidilfitri berdekatan rumah dengan kadar sewa RM500 menggunakan 'food trailer'.

"Bolehlah hasil tapi sekadar lepas untuk bayar hutang yang ada. Kami tidur dalam kereta lepas berniaga selama sebulan. Sekarang lebih sebulan saya tak berniaga sebab sakit," katanya yang semakin tertekan dengan situasi itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: