07 November 2022

"KENA REDA... ALLAH NAK BERI PESANAN" - FAKHIZ VE MOHON DOAKAN BAYINYA YANG MASIH LEMAH DI HOSPITAL



"Beberapa hari sebelum ditahan wad, anak saya asyik berak, dan muntah. Mula-mula tak serius sebab ada masa okay. Tapi Isnin minggu lalu, dia muntah, warna macam lebih kurang najis. Terus bawa ke hospital. Dia alami dehidrasi, dua hari masuk antibiotik. Doktor kata dalam usus dan darah dia ada jangkitan kuman.


"Petang semalam keadaan dia nampak lemah, mata dia macam mata dah reda," demikianhlah kata anggota kumpulan VE, Fakhiz Yunos yang berharap peminat terus mendoakan keadaan anaknya, Jauza Hanania yang masih dalam keadaan lemah dan terpaksa diberikan susu melalui hidung.

Kongsi Fakhiz, anak perempuannya yang berusia dua bulan itu dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah seperti najis dan disahkan terdapat jangkitan kuman dalam usus serta darah.

Terdahulu, Fakhiz memaklumkan anak bongsunya terpaksa menerima rawatan di Hospital Shah Alam disebabkan keracunan makanan. Dalam pada itu, Fakhriz memberitahu apa membuatkan dia lebih bimbang, Jauza mula tidak memberi respons selain enggan minum susu yang diberikan selain matanya kelihatan kuyu dan lemah.

Klik untuk gambar besar



Menurut Fakhiz, dia melihat mata anaknya yang seakan-akan reda dengan keadaannya semakin lemah. Katanya, doktor memberitahu akibat keracunan makanan tersebut, bahagian usus anaknya mengalami jangkitan kuman selain kandungan gula dalam darah turut merosot.

"Tapi selepas diberi minum susu melalui tiub, Alhamdulillah dia mula beri tindak balas yang baik," ujar penyanyi yang berusia 40 tahun ini.

Fakhriz menambah, doktor yang merawat anaknya memaklumkan keracunan makanan itu berpunca daripada pencemaran air yang digunakan untuk membancuh susu.



"Doktor kata berpunca daripada air dan banyak kes macam ini dekat hospital dan dia turut menyarankan agar air yang digunakan untuk membancuh susu sebaiknya direbus terlebih dahulu," jelasnya.

Sementara itu, Fakhriz mengakui disebabkan bimbang tentang kesihatan anak kesayangannya, tumpuan terhadap persembahan di Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) turut terganggu. Namun dia menguatkan semangat apatah lagi mengenangkan isteri yang perlu menjaga anak ketiga mereka itu yang masih dirawat di Hospital Shah Alam.

Fakhiz turut berpesan kepada isterinya agar terus reda dengan apa yang sudah berlaku dan akan datang kerana beranggapan dugaan itu sebagai teguran daripada Allah SWT.



"Isteri yang jaga daripada awal, berjaga malam. Dia yang menghadap lagilah terasa. Sakit bersalin pun tak hilang lagi. Saya ada berpesan kepada isteri, apa yang jadi baik atau tidak, kita kena terus reda.

"Perkara yang dah lepas dan apa yang akan datang, kena reda. Sekarang ini kena usaha. Mungkin kita pun ada silap dan lalai... jadi, Allah nak beri pesanan. Sebab kita sayang anak lebih daripada Allah," tuturnya.

Pun begitu, dia turut berterima kasih atas sokongan rakan-rakan V.E. yang memberi semangat kepadanya untuk meneruskan persembahan dengan baik. Malah, pada persembahan lagu berjudul 'Rozana' nyanyian asal Search, V.E. mendapat tempat kedua dengan markah sebanyak 80.40 peratus daripada juri profesional.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: