20 November 2022

"KENAPA NAK MEMBURUKKAN SAYA?" - DAMIAN NAFI ADA RASA DENGKI, IRI HATI DENGAN VE



"Walaupun sudah meninggalkan VE, tetapi saya keluar dengan cara baik. Apabila barisan baru VE menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), ramai peminat meminta pandangan, tetapi saya menolak mengulasnya.


"Namun, saya terkejut apabila mereka mengeluarkan kenyataan saya tidak menjawab panggilan. Saya tidak menyangka mereka sanggup menipu. Kenapa nak memburukkan saya? Walaupun tak sempat jawab panggilan video, tetapi saya membalas mesej dan mengucapkan tahniah.

"Saya hantar mesej pada Hakim. Kenapa nak memperlihatkan seolah-olah saya jahat dan tidak beri sokongan. Kenyataan yang dikeluarkan bukan sebab saya nak menyerang, sebaliknya mempertahankan diri," itulah tutur bekas anggota kumpulan VE iaitu Damian Mikhail.

Damian menerusi media sosial telah memberikan kritikan demi kritikan secara terbuka terhadap VE, sekaligus menebarkan pelbagai spekulasi kekeruhan hubungan mereka.

Ada yang menganggap tindakan Damian disebabkan tidak puas hati dan iri hati terhadap perkembangan positif kumpulan yang pernah popular menerusi lagu 'Pop Yeh Yeh', 'Ayu' dan 'Party Like This itu'.

Klik untuk gambar besar



Enggan berteka-teki, penyanyi dan komposer itu menjelaskan, dia tiada masalah peribadi dengan VE. Dalam masa sama, Damian yang diminta mengulas mengenai dakwaan tidak boleh melihat kejayaan VE itu mempersoalkan, kenapa nak menuduhnya 'bitter', sedangkan dia memilih keluar VE.

"Cukup-cukuplah nak bangkitkan saya bukan anggota asal. Kalau nak kata saya bukan anggota asal, Cham juga bukan anggota asal. Saya dibawa masuk VE kerana mahu menguatkan lagi kumpulan berkenaan yang ketika itu hanya ada satu lagu popular.

"Selepas menyertai VE, kami dapat rakam album, hasilkan banyak lagu hits dan genggam trofi anugerah. Malah, VE juga dapat keluar daripada zon selesa apabila mula memasuki pasaran. Jangan nak menafikan sumbangan saya dalam VE," katanya.

Menjawab tuduhan mempunyai masalah dengan salah anggota VE, Damian berkata, dia tiada masalah peribadi dengan Adeep Nahar.

"Prinsip saya, jika ada masalah dengan seseorang, saya lebih suka bersemuka. Tak tahulah jika Adeep ada masalah dengan saya. Kalau betul ada, boleh hubungi atau jumpa saya. Adeep bukan tiada nombor saya," jelasnya.

Katanya, dia tak kisah VE menyertai GV9, tetapi, sebagai seorang berpengalaman dan pernah menjadi juri pelbagai pertandingan berprestij termasuklah Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL), apa yang disuarakan dalam media sosial adalah pandangan sebagai penggiat industri.

"Jika VE berhasrat buat kemunculan semula, ada cara lain boleh dilakukan seperti bertemu dengan komposer. Membiarkan VE menyanyi lagu yang bukan genre dan dinilai juri adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

"Mereka membawa jenama VE yang sudah sedia gah. Jadi, kenapa nak jatuhkan reputasi sekian lama dibina? Saya juga sering mendapat rungutan peminat VE yang mendakwa VE hari ini semakin tersasar. Dahulu, VE dilihat begitu eksklusif dan sering diundang menjayakan acara berprestij.

"Bila guna jenama VE, saya harap jangan menyimpang perjuangan asal VE. Jangan mensia-siakan reputasi dibina selama ini," ujar pengarah muzik untuk beberapa program realiti seperti Gangstarz, MyStarz, Akademi Fantasia dan Ceria PopStar itu.

Terdahulu, Damian mengumumkan mengundurkan diri daripada VE kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan dan keluarga, tahun lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: