11 November 2022

MASIH KENAL MESKIPUN PENGLIHATAN SUDAH TIADA - ANNE ABDULLAH MINTA RAKAN ARTIS ZIARAH ROSLAN SALLEH



"Alhamdulillah, saya lihat keadaannya kini semakin baik. Abang Lan sudah boleh duduk dan berselera makan. Walaupun penglihatannya sudah tiada namun dia masih mengenali kami yang datang menziarahinya baru-baru ini."


Itulah kata dramatis Anne Abdullah atau Noraini Abdullah, 49, yang memaklumkan pelakon veteran, Roslan Salleh masih mengenali rakan-rakan yang datang menziarahinya, meskipun penglihatan terganggu.

Ketika dikunjungi rakan-rakan selebriti baru-baru ini, tahap kesihatan Roslan dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dan kembali bersemangat. Pada kunjungan itu, Anne turut ditemani oleh pelakon Fauziah Nawi dan Liza Abdullah ke kediaman Roslan di Masjid Tanah Melaka pada Selasa lalu.

Kata Anne, sebagai kenalan rapat pelakon veteran itu, dia dan rakan-rakan gembira melihat perkembangan positif ditunjukkan Roslan meskipun kesihatannya terganggu.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Anne turut berpesan kepada rakan selebriti yang mengenali Roslan agar meluangkan masa menziarahinya. Ini kerana kata Anne, daripada raut wajah Roslan, aktor itu ternyata nampak lebih bersemangat dan gembira apabila ada rakan-rakan datang mengunjunginya dan bertanya khabar.

"Meskipun kami semua sibuk dengan urusan kerja, Alhamdulillah kami cuba luangkan masa berjumpa dengannya. Saya harap rakan-rakan selebriti lain turut datang menjenguk Abang Lan," ujarnya.

Berkongsi mengenai keadaan Roslan, Anne menjelaskan penglihatan pelakon itu terjejas bukan disebabkan penyakit diabetes tetapi akibat sering mengalami sakit kepala kronik. Disebabkan itu, doktor mengambil keputusan mematikan saraf matanya bagi mengurangkan sakit kepala yang ditanggung.


"Penglihatannya mungkin terjejas tetapi selepas melakukan pembedahan itu, Abang Lan kini tidak lagi menanggung sakit kepala kronik," tuturnya.

Sementara itu, Anne turut memberitahu sekiranya orang ramai ingin memberi bantuan kepadanya, mereka boleh berbuat demikian dengan membeli produk jualan Roslan sebagai tanda sokongan.

"Sewaktu Abang Lan masih sihat, dia rajin ikut kami berniaga. Mungkin ramai yang tak tahu, perniagaan jualan sambal hitam dan daging dendeng yang diusahakan masih lagi dijual. Kami rakan-rakan selebriti turut membeli sebagai tanda sokongan dan membantu mana yang termampu," jelasnya.

Terdahulu, kesihatan Roslan dilaporkan berada dalam keadaan kurang baik akibat penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu. Keadaannya menjadi lebih teruk apabila dimasukkan ke hospital pada Mei lalu kerana melecur pada bahagian kaki.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: