23 November 2022

PARU-PARU NAD ZAINAL, DOKTOR MASIH MENGESAN PUNCA PENDARAHAN BERTERUSAN - BEKAS SUAMI TITIP KATA SEMANGAT



"Yang pasti pendarahan berterusan, secara 'on and off'. Jadi, doktor sedang berhempas pulas mengeluarkan darah yang berkumpul dalam paru-paru. Bermacam-macam ubat sudah diberikan termasuk antibiotik, namun tidak memberi apa-apa kesan atau tindak balas terhadap jangkitan yang dialami."


Itulah kata pelakon Ungku Ismail yang mengenai keadaan rakannya, pelakon Nad Zainal dimana pendarahan masih lagi berlaku. Jelasnya, doktor belum dapat mengesan punca menyebabkan berlaku perdarahan berterusan dalam paru-paru Nad yang kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di pusat perubatan di Ampang, di sini, sejak dua hari lalu akibat masalah paru-paru berdarah.

Ujar Ungku Ismail lagi, doktor juga tidak pasti sama ada ia berpunca daripada kencing tikus atau jangkitan bakteria lain memandangkan Nad tidak mempunyai gejala yang dikaitkan.

Selain itu, Ungku Ismail memberitahu, doktor turut memaklumkan Nad kini mengalami autoimun iaitu di mana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri. Difahamkan, setakat ini empat doktor masih lagi memantau keadaan Nad selain perlu dirawat menggunakan dos steroid yang tinggi.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin ketika ditemui meminta semua pihak mendoakan yang terbaik buat Nad.

"Kita sama-sama doakan agar Nad kembali sembuh dan semoga Allah akan kembalikan dia kepada kita semula. Sebagai rakan saya terharu apabila ramai dalam kalangan penggiat seni yang turut hadir termasuk ahli keluarga Nad untuk memberi semangat kepadanya.

"Keluarga Nad juga sudah dipanggil untuk melawatnya, manakala rakan-rakan penggiat seni setia memantau perkembangannya di hospital," tuturnya.

Barisan penggiat seni tanah air yang hadir antaranya Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Sherry Alhadad, Aliff Aziz dan isterinya Bella Astillah, Didie Alias, Sharifah Sakinah, Nadiya Nisaa, penerbit Fazli Baharom dan ramai lagi.

Bekas suami Nad iaitu Muhammad Faliq Amirudin turut hadir bersama anak mereka. Dalam pada itu, Faliq menerusi Instagram Story miliknya ada menitipkan kata semangat buat bekas isterinya itu untuk terus kuat.

"Awak kuat. Saya tahu. Demi Yem dan Som," tulis Faliq pada gambar Nad yang mengenakan pakaian dan tudung berwarna putih.

Faliq juga memohon orang ramai mendoakan Nad yang kini sedang bertarung melawan penyakit di ICU.

Yem dan Som adalah nama panggilan dua anak mereka iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom yang baru berusia setahun.

Untuk makluman, Nad dan Faliq berkahwin pada 18 Disember 2015. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak berkekalan apabila Nad mengesahkan mereka sudah bercerai pada September lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: