22 November 2022

PENAMPILAN MACAM KPOP, TINGGALKAN KOMEN DI IG PELAKON THAILAND - HAEL HUSAINI KUNCI MULUT



Penyanyi dan komposer sensasi, Hael Husaini, 34, sejak akhir-akhir ini sering menerima kecaman. Apa sahaja gerak geri atau perbuatan dilakukan, pasti ada komen negatif dilemparkan sama ada dalam menjalani kehidupan seharian mahupun paparan media sosial.


Selepas isu penampilan persis bintang K-Pop jadi buah mulut, terkini komen ditinggalkan Hael dalam Instagram (IG) milik aktor kacak dari Thailand, Gulf Kanawut yang pernah membintangi drama yang mengangkat hubungan sejenis turut mengundang spekulasi nakal netizen.

Namun, Hael atau nama penuhnya Hal Husaini Razmi terus mengunci mulut memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan sehingga hari ini.

Mengulas penampilannya seperti bintang K-Pop sehingga ada yang mendakwanya menggunakan teknologi moden demi untuk mendapatkan bentuk wajah dan kulit putih melepak seperti 'oppa', Hael enggan mengulas perkara itu.

Klik untuk gambar besar



Sebaliknya, penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mendedahkan, gaya dan penampilannya ditentukan oleh penata gaya.

"Jujurnya, saya memang tidak pandai berfesyen atau melaram. Imej dan penampilan saya semuanya ditetapkan penata gaya. Jadi, lebih baik saya serahkan pada pakar.

"Dengan adanya bantuan penata gaya, peluang untuk saya bekerjasama dengan jenama antarabangsa semakin terbuka luas. Saya pun tidaklah terlalu obses dengan kecantikan. Cuma, sebagai selebriti, saya kena sentiasa menjaga penampilan," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.



Dalam pada itu, ditanya pula mengenai isu komen dalam IG Gulf Kanawut yang tular, baru-baru ini, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu tetap memilih untuk mengunci mulut.

"Saya tak nak jawab," kata penyanyi lagu 'Jampi' dan 'Haram' itu secara ringkas.

Disebabkan sering dihambat kontroversi, timbul juga dakwaan Hael cuba mengelak daripada ditemubual media berikutan tindakannya tidak menjawab panggilan dan membalas mesej dihantar.



Saat diajukan pertanyaan itu kepada empunya diri, Hael menepis dakwaan dengan menegaskan tidak pernah mempunyai masalah dengan wartawan.

"Rakan wartawan masih kawan saya. Alasan kenapa sukar dihubungi kerana saya sudah empat tahun tidak mempunyai telefon bimbit. Saya juga jarang menggunakan media sosial. Segala kemas kini dalam media sosial diuruskan syarikat pengurusan. Jadi, sebarang urusan temubual juga diuruskan mereka.

"Saya selesa cara ini kerana mereka hanya memaklumkan perkara penting yang membabitkan soal kerja. Segala komen negatif juga akan tapis. Bukanlah nak kata saya kalis kecaman, tetapi saya seorang yang cepat runsing.

"Jadi, lebih baik saya tidak membaca atau mengambil tahu komen negatif. Saya mahu lebih fokus pada kerjaya," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: