02 November 2022

PERSIAPAN AWAL SERTAI IRONMAN KALI KEDUA - ALIF SATAR SELESAIKAN UJIAN ECG, PEMINAT IKUT TERCUNGAP-CUNGAP



"Mintak nyawa! Level tujuh nak ke level lapan dah pancit... memang cuak nak buat ECG di Institut Jantung Negara tapi semuanya berjalan lancar," kata penyanyi dan pelakon Alif Satar yang bimbang keadaan kesihatannya tidak berada di tahap terbaik apabila berkongsi melakukan ujian elektrokardiogram atau ECG di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.


Alif, 32, yang berkongsi hal tersebut menerusi laman Instagram miliknya itu menjelaskan, pemeriksaan tersebut dilakukan sebagai persediaan awal bagi menyertai pertandingan Ironman Malaysia buat kali kedua pada 5 November 2022.

Melihat perkongsian video ujian berkenaan, Alif kelihatan tercungap-cungap untuk menghabiskan larian di atas treadmill namun berjaya menyelesaikannya sehingga tahap kelajuan peringkat lapan.

Turut kelihatan, badan Alif juga disambungkan dengan beberapa wayar bagi mendapat bacaan tepat jantung dalam memastikan organ itu berfungsi dengan baik dan tiada masalah. Dalam pada itu, Alif memaklumkan dia perlu membuat persiapan secukupnya untuk menyertai cabaran Ironman itu nanti.

Klik untuk gambar besar



"Saya memang nak betul-betul pastikan 'enjin' bersedia untuk Ironman," kata Aliff yang juga seorang pengacara.

Untuk makluman, Alif pernah menyertai pertandingan Ironman Langkawi pada 2019 dan berjaya menamatkan cabaran tersebut dalam tempoh 15 jam 5 minit dan 49 saat.

Tidak hanya itu, penyanyi lagu 'Lelaki Seperti Aku' itu turut berpesan kepada pengikutnya agar melakukan pemeriksaan kesihatan lengkap sebelum bergiat aktif dalam aktiviti lasak dan senaman.


"Korang yang baru nak mula bersenam pun, Alif sarankan buat pemeriksaan penuh," ujar bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Meninjau ke ruangan komen, pengikut Alif turut menyatakan rasa kagum dengan persiapannya menjelang pertandingan berkenaan malah ada tertarik untuk melakukan pemeriksaan serupa.

"Aku yang tengok ini pun rasa tercungap-cungap, persiapan yang bagus Alif." - "Rasa nak tolong hulur air tengok Alif berlari. Good luck untuk Ironman nanti. Macam mana nak buat pemeriksaan ini?

"Takut tengok wayar itu, saya pula yang tumpang tertekan dan cuak tengok Alif buat pemeriksaan ini," antara komen-komen netizen.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: