22 November 2022

RAMLI MS TOLAK DAKWAAN GV9 ADA DUA JUARA



"Dua juara? Netizen cakap? Mana ada. Okey... lagi satu saya nak terangkan sebagai ketua juri, saya tiada hak untuk letakkan nombor satu dan dua. Kita ada tiga juri. Kalau ada seri (sama markah), mungkin penentuan saya buat. 


"Ya, tapi atas persetujuan semua. Saya tiada kuasa nak masukkan dia (peserta) kat itu ini. Tidak!" itulah kata juri profesional, Datuk Ramli MS yang menafikan cakap-cakap pengguna laman sosial yang mengatakan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) ini akan mengangkat dua juara, sekali gus mengulangi sejarah GV6 pada 2019 yang dimenangi bersama oleh Naqiu dan Hady Mirza. 

Persaingan sengit dua bintang terkenal, Shila Amzah dan Jaclyn Victor saban minggu dalam program terbabit itu telah menimbulkan dakwaan berkenaan.

Pada konsert separuh akhir GV9 yang berlangsung malam Ahad lalu itu menyaksikan Jaclyn mengungguli kedudukan teratas dengan markah 84.35 peratus, manakala Shila di tempat kedua dengan 79.20 peratus. 

Dalam perkembangan sama, Ramli serta dua juri lain iaitu Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat bersetuju sekiranya GV akan diteruskan pada masa depan.

Mereka berpendapat banyak manfaat dan kelebihan program ini untuk artis terutama memperbaiki kelemahan yang ada dalam nyanyian, selain dapat mengumpul lebih ramai peminat dan penyokong. 

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: