28 November 2022

"SAYA BUKANNYA BIASA NYANYI RAP, TAMBAHAN LAGU BERBAHASA INGGERIS" - BOB YUSOF AKUI TAKUT SILAP, PILIH PANDANG PROMPTER



"Apabila disebut nama Hazrul Nizam sebagai tempat keenam, saya sudah terkejut, kemudian apabila Tomok pula ditempat keempat, saya semakin terkejut dengan keputusan. Bukan apa, saya tahu kemampuan Tomok kerana kreativiti dan semangatnya, mungkin nasib lebih berpihak kepada saya di GV9. Apa pun, saya sangat bersyukur dengan rezeki Allah SWT.


"Kami di GV9 seperti sebuah keluarga, jadi perasaan itu bercampur baur. Apa yang pasti, persembahan pada pusingan akhir bukanlah sesuatu yang mudah," itulah kata penyanyi Bob Yusof yang sama sekali tidak menyangka dan tidak pernah terlintas kemenangannya sebagai naib juara program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang berakhir malam tadi.

Bob Yusof atau nama sebenarnya Yusrizan Usop, 41, berkata, dia hanya ingin memberikan yang terbaik di pusingan akhir GV9. Ujarnya, dia memasuki GV9 dengan harapan dapat menghidupkan kembali namanya sebagai seorang penyanyi, selepas selama ini lagunya kurang mendapat sambutan pendengar meskipun setiap tahun menghasilkan karya baharu buat pendengar.

Klik untuk gambar besar



Tambahnya lagi, dia berharap kejayaan yang diperoleh di GV9 dapat digunakan sebaik mungkin agar peminat kembali memberi perhatian dan sedar akan kewujudannya dalam industri hiburan tanah air.

"Saya masuk GV9 ini tak pernah fikir nak menang. Saya cuma mahu wujudkan kembali jenama Bob Yusof dan supaya orang tahu kewujudan dalam industri ini. Saya tidak pernah pun hilang sejak awal bergelar penyanyi. Sebenarnya setiap tahun ada sahaja lagu baru. Cuma mungkin kurang dapat sambutan dan tidak diputarkan di radio.

"Saya juga menguruskan kerjaya sendiri jadi tidak tahu bagaimana cara untuk pasarkan lagu. Berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan artis di GV9 ini membuka mata untuk lebih tahu apa yang harus dilakukan pada masa akan datang," tuturnya.



Bercerita tentang cabaran membawakan lagu rap yang bukannya menjadi genre pilihan, kata Bob, dia mengambil masa lama untuk menghafal lagu tersebut namun terpaksa akur dengan kesilapan sendiri terlupa lirik di atas pentas apabila jelas kelihatan pada matanya lebih tertumpu membaca lirik lagu yang tersedia di prompter sehingga ditegur juri tetap Datuk Shafinaz Selamat.

"Sejak minggu lalu memang saya lebih fokus kepada berlatih lagu rap berbanding persembahan solo. Saya bukannya biasa nyanyi rap. Tambahan pula lagu rap berbahasa Inggeris, memang berbelit lidah.

"Saya dah hafal sejak awal tapi apabila di atas pentas hilang semuanya. Daripada tidak menyanyi langsung lebih baik saya memandang kepada prompter. Saya takut melakukan kesilapan," jelasnya.

Sementara itu, Bob yang popular menerusi lagu 'Cinta Seorang Teman' itu memaklumkan, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk wang kemenangannya.

"Buat masa ini saya belum lagi mempunyai sebarang perancangan. Malah, jumlah wang kemenangan pun masih 'blur' lagi kerana semuanya ibarat mimpi. Apa yang pasti, saya ingin memberikan penghargaan kepada peminat-peminat yang menyokong saya sejak minggu pertama lagi. 

"Tidak sangka, sokongan dan kata-kata positif mereka memberikan semangat pada saya sehingga sampai ke peringkat ini. Wang kemenangan tersebut saya akan gunakan sebaik mungkin untuk diri sendiri, keluarga dan team Bob Yusof. Mungkin ia juga boleh dimanfaatkan untuk perkembangan kerjaya selepas ini," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: