"Kereta itu untuk mak dan ayah sebab saya tidak tahu memandu. Sejak kecil kami sekeluarga hanya naik pengangkutan awam atau motosikal kalau hendak ke mana-mana. Selalunya kalau balik kampung pun naik bas ekspres.
"Jadi kereta ini adalah kereta pertama keluarga, Alhamdulillah impian saya nak tengok mak dan ayah memiliki kereta sendiri akhirnya tercapai," demikianlah kata pelawak Shashic Iewan yang meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk membeli sebuah kereta buat ibu bapa akhirnya terlaksana.
Baru-baru ini tular di aplikasi TikTok video memaparkan bekas peserta program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) itu berpelukan dengan bapanya yang terharu apabila dikejutkan dengan hadiah sebuah kereta.
Klik untuk gambar besar
Menerusi video berkenaan, penonton turut berasa sebak apabila bapanya memasuki kenderaan tersebut sebelum mengangkat tangan membaca doa dalam linangan air mata tanda kesyukuran terhadap hadiah diterimanya.
Sudah lama berhajat membelikan sebuah kereta untuk kegunaan ibu bapanya memandangkan mereka tidak pernah memiliki kenderaan sebelum ini, Shashic atau nama penuhnya Muhammad Noor Shashic Iewan, 31, berkata, meskipun hanya kereta terpakai namun dia tetap gembira kerana membelinya secara tunai.
Katanya lagi, dia sudah lama mengumpul wang untuk membeli kereta berkenaan kerana ingin membalas jasa orang tuanya yang sudah bekerja keras sepanjang hidup mereka bagi membesarkannya.
"Memang dah lama saya kumpul duit, bila dah cukup saya memang tak fikir panjang dan beli kereta ini buat mak dan ayah. Bila lagi nak berjasa pada mereka, selagi mak ayah ada inilah masanya nak menghargai mereka," ujarnya yang hanya memiliki sebuah motosikal.
Berkongsi reaksi ibu bapanya ketika menerima kejutan tersebut, Shashic berkata, orang tuanya seakan-akan tidak percaya menerima hadiah berkenaan. Malah dia sendiri berasa segan apabila video dia memberi hadiah itu tular di media sosial kerana tidak mahu dianggap mahu menunjuk-nunjuk.
"Saya kalau boleh tak mahu tunjuk-tunjuk pada orang, tapi bila dah ada orang tularkan, tak mengapalah. Saya harap ia menjadi manfaat kepada orang lain untuk turut berbakti kepada kedua ibu bapa mereka," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment