01 November 2022

"SELEPAS KAHWIN, SAYA SEMAKIN BERISI" - SHAHIR AKUI BAHAGIA, PUJI ISTERI PANDAI MASAK



"Selepas kahwin saya semakin berisi. Alhamdulillah, semuanya lebih teratur dan pemakanan juga terjaga. Kalau nak tanya berapa banyak badan naik, anda tengok sudah tahu. Isteri saya memang pandai memasak.


"Masa bujang saya boleh kawal pemakanan, tetapi sekarang, bila isteri masak takkan saya tak nak makan," itulah kata penyanyi Shahir Zawawi, 34, yang mengakui dia kini menjalani momen bahagia selepas berkahwin hampir dua bulan dengan Jaskin Jaludin.

Shahir memberitahu berat badannya kini naik mendadak kerana begitu bahagia serta memuji isterinya seorang yang pandai memasak. Ditanya adakah dia risau dengan penampilannya memandangkan berat badannya kini naik, Shahir berkata dia reda dengan fizikalnya sekarang.

Klik untuk gambar besar



"Dahulu, saya tidak suka keluar dalam media sosial apabila badan saya berisi. Tetapi, sekarang saya amalkan konsep reda apabila bersama ustaz. Jadi, saya reda sahaja berat badan sekarang. Yang penting, saya sihat," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu 'Kebahagiaan Dalam Perpisahan' ini juga tidak terlepas dengan pertanyaan mengenai cahaya mata apabila berkata, dia dan isteri tidak merancang dan menyerahkan rezeki zuriat kepada Allah.

"Semuanya bergantung kepada rezeki. Saya tidak merancang sama ada nak ada anak atau menangguhkannya. Jika rezeki cepat, Alhamdulillah. Kita berdoa mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki. Tetapi buat masa ini, belum lagi. Saya nampak seperti mengandung, tetapi tidak," tuturnya.



Dalam perkembangan lain, Shahir akan menjadikan rakaman majlis perkahwinan sebagai video muzik single baharu berjudul 'Halal' yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Untuk makluman, Shahir selamat diijabkabulkan dengan Jaskin dengan sekali lafaz di sebuah premis perkahwinan di One City, Subang Jaya pada 3 September lalu.

Shahir mengikat tali pertunangan dengan wanita kelahiran Tawau, Sabah itu pada 16 Julai lalu selepas mengenalinya menerusi Instagram (IG) pada Aidilfitri lalu.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: