29 November 2022

TERIMA DIPLOMA BAGI PIHAK ARWAH ANAK - NORA ARIFFIN RASA SEDIH & DALAM MASA SAMA BANGGA



"Ini adalah semangat untuk adik-adiknya yang lain. Tengok abang tak sempat nak berjaya, adik-adiklah ambil semangat tersebut untuk teruskan legasi saya dan Allahyarham Johan," tutur penyanyi Datuk Nora Ariffin yang memberitahu meskipun berasa sedih Allahyarham anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan tidak bersamanya namun kejayaan Alif adalah pemangkin semangat buat dua orang adiknya untuk terus berjaya dalam pelajaran.


Nora berkata demikian selepas dia mewakili arwah anaknya itu bagi menerima skrol diploma miliknya di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-95 yang berlangsung pada petang Selasa.

Hari yang sepatutnya menjadi kegembiraan dan kebanggaan buat seorang ibu bertukar hiba apabila arwah anaknya berjaya menamatkan pelajaran dalam jurusan Diploma Perfileman di Fakulti Filem, Teater & Animasi di UiTM cawangan Puncak Perdana, Selangor.

Klik untuk gambar besar



Berkongsi mengenai perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Universiti Teknologi Mara, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 49, memberitahu, ketika hayatnya, Allahyarham banyak membantunya mengambil alih dalam bahagian kreatif termasuklah membantu menghasilkan video untuknya.

Kata penyanyi lagu 'Di Persimpangan Dilema' ini, arwah Alif juga antara individu yang banyak menaikkan semangatnya selepas pemergian Allahyarham suami, Johan Nawawi pada 24 Mac 2017.



"Setiap hari Alif pasti akan menghantar WhatsApp bertanya sama ada saya okay atau tidak. Memang pemergiannya satu kehilangan besar buat keluarga kami," ujarnya.

Bagaimanapun, Nora berkata, dia reda dengan pemergian anak keduanya itu dan menganggap Allah lebih menyayanginya: "Selepas kematian Johan, kami reda dengan pemergian Alif kerana macam mana kami sayang padanya, Allah lebih menyayanginya," jelasnya.

Untuk makluman, arwah Alif menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2019 selepas tiba-tiba rebah ketika berada di rumah. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara berdekatan pusara bapanya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: