12 November 2022

"ARWAH SANGAT MENJAGA PRIVASI KAMI SEKELUARGA..." - ABANG TAK SANGKA GAMBAR & UCAPAN HARI LAHIR PETANDA SYAZLIN 'PERGI'



Jenazah Allahyarham Syazlin Zainal telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2 kira-kira pukul 10 malam, Jumaat.


Dalam suasana hujan renyai majlis pengebumian itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dan sahabat. Antara rakan selebriti yang hadir ialah Shah Jaszle, Mas Khan, Fiza Thomas, Nelissa Nizam dan Hazeeq Dean.

Mengenai spekulasi punca kematian adiknya yang terjatuh dari tingkat 22 pangsapuri di Johor Bahru, Johor, kelmarin, abang sulung kepada Allahyarham Syazlin Zainal iaitu Ezra Zaidi bagaimanapun enggan mengulas, sebaliknya berkata kes terbabit dalam siasatan pihak polis dan masih menunggu laporan.

"Ikut laporan polis saja. Kes ini pun masih dalam siasatan polis. Kita tunggu nanti," katanya ringkas.

Klik untuk gambar besar



Menurut Ezra lagi, dia berasa pelik apabila arwah memuat naik gambar mereka bersama di media sosial kerana sebelum ini Syazlin begitu menjaga privasi keluarganya.

"Sejak dia bergelar selebriti, arwah sangat menjaga privasi kami sekeluarga dan tidak pernah memuat naik apa-apa gambar kami di media sosialnya.

"Tapi pada hari jadi saya 8 November lalu, itu pertama kali dia muat naik dan tag nama sekali. Tak sangka pula itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," tuturnya.



Sementara itu, sepupu arwah, Nor Shida Mohd Jawal, 44, memberitahu, seluruh ahli keluarga turut tertanya-tanya punca sebenar Syazlin meninggal dunia.

"Apabila mendapat tahu pemergiannya, saya dan keluarga terperanjat malah sampai sekarang dalam keadaan tidak percaya. Kami juga tiada jawapan mengapa ia boleh berlaku.

"Macam mana benda itu terjadi... persoalan itu menjadi tanda tanya seluruh keluarga sebab kami tidak tahu punca sebenar dan menanti siasatan pihak berkuasa," ujarnya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan Allahyarham maut dipercayai terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri. Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: