"Masalah memang ada tapi kami pilih mendengar, meneliti dan mencari jalan penyelesaian. Itu lebih baik daripada membiarkan tergantung begitu saja tanpa jawapan dan buat peminat berteka-teki. Lagipun kena ingat saya akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis Isnin ini.
"Ada baiknya saya selesaikan setiap isu sebelum fokus pada pembedahan itu," jelas penyanyi popular, Zamani apabila perang dingin membabitkan dirinya dan penganjur konsert, Aalan Ahmad yang juga pemilik Indera Entertainment berakhir awal pagi hari ini selepas kedua-duanya memilih untuk berdamai.
Ia susulan dakwaan mengatakan Aalan melarikan wang jualan tiket Konsert Doa Buat Zamani di Zepp Kuala Lumpur, di sini, pada 30 September lalu. Aalan tidak berhasrat memanjangkan lagi isu itu sehingga menjejaskan hubungan baik yang terjalin sejak remaja.
Zamani ketika ditemui berkata, selepas keadaan semakin tegang dengan komen peminat serta penggiat seni tanpa mengetahui perkara sebenar, mereka membuat keputusan untuk berjumpa dan meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati masing-masing.
Klik untuk gambar besar
Perbincangan turut disertai isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani dan isteri Aalan yang dikenali sebagai Amylia. Perbincangan antara mereka berjalan lancar, namun sesekali dilihat agak beremosi dalam beberapa perkara serius antaranya isu penjualan tiket, sumbangan mytickets.asia sebanyak RM3 bagi setiap keping tiket untuk Zamani serta dakwaan Julie terhadap Aalan.
Bagaimanapun, situasi kemudian kembali tenang selepas penerangan Aalan diterima Zamani. Begitu juga penjelasan Zamani diterima dengan baik oleh Aalan. Sementara itu, Aalan berkata, dia bersyukur apabila Zamani akhirnya mendengar permintaannya untuk berjumpa dia dengan isterinya.
"Di sini saya dapat menjelaskan apa yang sepatutnya mereka perlu faham. Jelas terbukti perkara ini berpunca daripada salah faham isterinya. Saya jelaskan kronologi apa yang berlaku dan mereka akhirnya puas hati dan faham.
"Pada saya isu ini dah selesai. Tumpuan sekarang ialah pembedahan Zamani. Biarlah dia laluinya dengan tenang," katanya dalam pertemuan yang berlangsung di kediaman Zamani di Ampang, di sini.
________________________
No comments:
Post a Comment