24 January 2023

PENERBIT EKSEKUTIF 'FAMILI DUO': "PESERTA SEDIA MAKLUM CARA MAS IDAYU MENGAJAR & MENEGUR... SAYA TAK BOLEH KATA SIAPA SALAH & SIAPA BETUL"



"Bila kami mengundang Mas Idayu sebagai juri tetap, saya rasa mereka sepatutnya sudah boleh menjangka apa yang bakal berlaku. Peserta sudah sedia maklum cara Mas Idayu mengajar dan menegur.


"Cuma, saya faham bila sudah masuk minggu keenam, semua artis sudah penat dari segi fizikal dan mental. Pun begitu, saya tidak boleh nak kata siapa salah dan siapa betul. Ini kerana setiap orang ada pendirian masing-masing."

Demikianlah kata penerbit Eksekutif program Famili Duo, Muhammad Sufian Che Isa ketika mengulas kontroversi berhubung komen pedas penyanyi dangdut, Mas Idayu terhadap persembahan Sissy Imann dan sepupunya, Naim Daniel pada konsert minggu keenam, hingga membuatkan Sissy mengalirkan air mata, semalam.

Ujar Sufian yang juga merupakan suami kepada Mas Idayu, peserta program realiti, 'Famili Duo' itu sepatutnya sudah mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental apabila bersetuju menyertai program realiti itu.

Klik untuk gambar besar



Bukan itu sahaja, peserta 'Famili Duo' juga perlu bersikap profesional dan tidak mengambil kritikan diberikan juri sebagai sesuatu bersifat peribadi.

Melihat kontroversi berlaku dari sudut positif, Sufian mengharapkan teguran dapat mencetus semangat baru kepada setiap peserta program berkenaan.

"Kritikan bukanlah dari segi kandungan persembahan. Ini kerana apa yang lakukan sudah bagus dan kami memang mahu peserta berfikir di luar kotak. Kelemahan hanyalah dari segi persembahan dan penyampaian sahaja.

"Walaupun teruk dikritik, mereka masih mempunyai peluang untuk melangkah ke peringkat akhir. Kami cuma mahu mereka kembali minggu depan dalam keadaan lebih bersedia dan bersemangat," katanya.

Tindakan Mas Idayu itu menerima kecaman ramai hingga tular dalam media sosial. Mengulas komen yang ditinggalkan netizen termasuk golongan artis dimana mereka menganggap perbuatan Mas Idayu sebagai keterlaluan, Sufian berkata, mereka berhak mengeluarkan pandangan.

"Dalam media sosial, semua orang boleh berkata apa sahaja. Kita tidak boleh kata salah ataupun betul kerana semua orang berhak untuk mengeluarkan pendapat.

"Cuma kena faham, stesen TV ada kandungan sendiri dan artis juga mempunyai kandungan mereka sendiri. Tugas kita hanyalah untuk menghiburkan penonton," tuturnya.


________ IKLAN ________

WOW... Domino X'tra Large Pizza hanya RM29.90...!! Ayuh dapatkan tawaran hebat di Domino's Pizza dimana ia menawarkan Domino X'tra Large Pizza yang hanya RM29.90 sahaja...


LINDUNG DIRI, LINDUNG SEMUA!





_______ IKLAN _________


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: