17 March 2023

ENAM BULAN TAK TIDUR, YANTZEN ALAMI PENYAKIT MISTERI?



Baru-baru ini, tular video di media sosial mendakwa penyanyi Yantzen dalam keadaan tidak normal apabila bercakap tidak tentu arah.

Susulan video itu, Yantzen bagaimanpun tidak melatah dengan komen negatif netizen, sebaliknya berkata, dia hanya mahu fokus menjalani kehidupan seperti biasa kerana baginya bukan mereka yang memberinya makan.


"Saya tak nak komen apa-apa. Saya kalau cakap pun tak guna, kalau saya beritahu pun ceritanya akan jadi dua hala.

"Terpulang pada mereka untuk menilai saya takkan melatah. Saya cuma fokus dengan kehidupan saya sekarang dan bukan mereka yang beri saya makan. Kata-kata negatif itu biasa, begitulah mereka mudah menilai orang," ujarnya.

Dalam pada itu, Yantzen mendedahkan dia mengalami masalah sukar tidur malam dan pernah tidak tidur selama enam bulan kerana penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

Klik untuk gambar besar



"Saya cuba memperbaiki diri sendiri, terus terang cakap saya enam bulan tak tidur. Itulah yang saya alami.

"Masalah kesihatan saya itu antara saya dengan Tuhan. Kalau benda-benda mistik saya tak tahu tapi saya ada lakukan perubatan Islam.

"Cara saya mengubati itu antara saya dengan Allah. Dari tahun lepas saya mengalami gangguan tidur ini," katanya.



Sementara itu, mengenai kejadian banjir hingga memusnahkan harta benda, Yantzen berkata, ia adalah takdir sudah ditetapkan Yang Maha Esa. Ujarnya, kejadian bencana itu berlaku sangat pantas.

Yantzen yang berpengalaman menetap selama dua hari di pusat penempatan sementara (PPS) itu meluahkan rasa syukur ramai pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO), rakan-rakan serta persatuan artis hadir menghulur bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir terjejas.

"Selama lima tahun saya menetap di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat, ia adalah kejadian banjir besar pertama dialami hingga masuk ke dalam rumah dan memusnahkan harta benda saya.

"Malah, saya sendiri sampai duduk di atas bumbung rumah untuk menyelamatkan diri. Air banjir deras yang muncul memang tak diduga. Apapun, semuanya sudah berlaku dan saya menerima dugaan ini dengan sabar dan redha.

"Alhamdulilah, saya tidak trauma dan fobia untuk tinggal di rumah selepas balik dari PPS itu. Bagi saya, apabila dapat pulang ke rumah dan melihat keadaan sebenar, hanya fikir nak bersihkan lumpur banjir yang tebal saja. Syukur Alhamdulillah, ramai kawan-kawan yang datang membantu.

"Apapun, tak dinafikan kerugian harta benda dialami memang banyak. Tapi, saya terima dengan hati terbuka kerana kejadian ini tidak diduga. Malah, saya pun tak terfikir untuk berpindah dari kawasan kediaman ini ke tempat lain," tuturnya.

Menurut Yantzen lagi, dia membina rumah itu untuk anak lelaki tunggalnya, Alif Ronan, 23. Katanya, mereka merancang tinggal di rumah itu bersama-sama dan selama beberapa tahun ini sudah banyak kenangan indah dikecapi.


Sumber: mStar & Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: