19 March 2023

SUDAH BERTUDUNG - SALAMIAH HASSAN TAK MAHU PENGHIJRAHANNYA INI JADI ISU BESAR



Penyanyi Salamiah Hassan, 72, yang sudah empat bulan kehilangan suami tercinta, Allahyarham Gery Hughes, tampil dengan imej baharu sekali gus mengesahkan dirinya kini sudah bertudung.

Enggan penghijrahannya itu menjadi isu besar, Salamiah memberitahu, dia memilih untuk bertudung kerana pilihan hatinya sendiri selain sudah sampai waktu.


"Tiada apa yang perlu saya komen. Saya memang nak pakai (tudung). Saya tak suka perkara ini menjadi satu isu besar.

"Rasanya anda pun mengenali saya seorang yang menjaga privasi. Jadi, apa yang boleh saya katakan saya pakai tudung baru-baru ini sebab saya sendiri nak memakainya, bukan pasal apapun.

"Saya pun baru selesai tempoh edah dan nak aktif bekerja. Sekali lagi saya tegaskan saya enggan perubahan ini menjadi isu besar," katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya selepas pemergian suaminya akibat kanser kolon, Salamiah berkata, sebagai manusia biasa dia tidak mampu menutup rasa kesedihan yang masih berbekas dalam hatinya.

Klik untuk gambar besar



"Saya okey saja. Kita tiada kuasa dengan apa yang sudah Allah tentukan. Kita harus reda dan terima hakikat serta teruskan kehidupan.

"Nak kata saya kuat, saya ini hanya manusia biasa. Pastilah masih ada rasa sedih itu.

"Lagipun boleh ke kesedihan itu hilang begitu saja, melainkan saya sendiri yang kena mengawalnya dengan kekuatan yang Allah berikan. Apa yang saya lalui sama seperti orang lain yang kehilangan insan tersayang," ujarnya.

Pada 4 November tahun lalu, Salamiah dikejutkan dengan pemergian suami akibat kanser kolon di Tasmania, Australia.



Salamiah menamatkan zaman solo selama 35 tahun apabila memilih Hughes sebagai suami pada 1 September tahun lalu.

Salamiah dan Hughes yang juga duda tiga anak mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu.

Salamiah sebelum ini pernah berkahwin dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan berpisah pada 1986.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Atilia dan Raja Ahmad Shah.

Allahyarham Raja Haron meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat masalah jantung.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: