05 April 2023

FARID KAMIL: 11 TAHUN KAMI HARUNGI... SAYA TAK PERNAH BERHENTI USAHA" - DIANA DANIELLE: "BUKAN SOAL MENANG ATAU KALAH"



"Saya gembira dapat jumpa dengan isteri saya hari ini. Apa yang boleh saya katakan hari ini, saya sedang berusaha untuk menyelamatkan keluarga saya. Saya dalam proses memikirkan jalan terbaik untuk capai jalan pendamaian, memberi anak-anak kedua ibu bapa mereka kembali dan hidup normal sedia kala.

"11 tahun kami sudah mengharungi pelbagai rintangan. Masih ada harapan. Jadi, harapan untuk rumah tangga saya letakkan pada Allah supaya suatu hari nanti kami akan kembali seperti biasa.


"Saya tak pernah berhenti berusaha untuk mencari anak dan isteri saya berada. Tapi pada Ramadan ini banyak kekangan apatah lagi saya sibuk dengan kerjaya sekarang," kata pelakon Farid Kamil yang yakin masih ada sinar buat dia dan isteri, pelakon Diana Danielle mencari jalan pendamaian bagi selesaikan kemelut rumah tangga.

Sementara itu, Diana ketika ditanya mengenai sebutan kes hadanah membabitkan hak penjagaan dua anaknya iaitu Muhammad dan Nur Aurora, yang berlangsung hari ini, enggan mengulas lebih secara terperinci, sebaliknya meluahkan rasa syukur sebutan kes tersebut berjalan lancar dan dia hanya mahu menyelesaikan hak penjagaan anak mereka dengan baik.

Klik untuk gambar besar



"Ini bukan soal menang atau kalah, sebaliknya mahu adil kepada anak-anak. Alhamdulillah, sebutan kes hari ini berjalan dengan baik dan saya tidak mahu bercakap secara terperinci, cuma mendoakan yang terbaik. Dan diharapkan kita boleh membuat kesimpulan dan penyelesaian.

Berhubung keadaan Aurora pula, Diana berkata, dia mahu menjaga ruang peribadi anaknya itu: "Alhamdulillah, saya melindungi ruang peribadinya. Saya tak mahu cakap banyak," tutur Diana.

Dalam pada itu, peguam mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan, pihaknya kini turut berbincang tentang kemahuan anak lelaki Diana, Muhammad yang ingin pulang beraya ke Kedah iaitu kampung halaman Farid. Tambahnya, Diana diberi hak penjagaan sementara sehingga 30 Mei ini.



"Kita sedang berbincang dengan peguam di sebelah sana dan kita akan pertimbangkan semua ini. Kita akan buat persetujuan setakat mana kita boleh seperti hak lawatan dan hak bawa pergi ke Kedah, kemudiannya kita akan buat perjanjian untuk perkara tersebut," jelasnya.

Menerusi perkongsian di InstaStory yang dimuat naik pada Rabu, Diana yang enggan netizen salah faham, tampil menjelaskan kenyataan 'mencari penyelesaian' bukanlah bermaksud dia mahu kembali kepada suaminya itu.

"Mencari jalan penyelesaian tidak bermakna akan kembali semula. Jangan salah faham pula dengan kenyataan saya," tulis Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: