20 April 2023

KEMBALI BERGELAR ISTERI - SITI FAIRUZ PILIH PEMINAT SETIA SEORANG USAHAWAN BERUSIA 72 TAHUN SEBAGAI SUAMI



"Mungkin dah sampai jodoh. Kami selamat disatukan pada 18 April lalu di Jabatan Agama Islam Kuantan, Pahang dengan mas kahwin RM22.50. Untuk hantaran semua biar kami berdua sahaja yang tahu. Saya juga bersyukur apabila anak-anak kami menerima baik keputusan kami," itulah kata penyanyi popular era 1980-an, Datuk Siti Fairuz, 59, telah mengambil barakah bulan Ramadan untuk kembali bergelar isterinya semalam dengan memilih peminat setia yang juga seorang usahawan, Syed Mohamed Syed Ismail, 72, sebagai suaminya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Bila Rindu Ku Sebut Namamu' ini menjelaskan, dia berkahwin bukan kerana nafsu sebaliknya sebagai peneman hidup, aktiviti seni dan sebagainya. Malah sebagai wanita, katanya, kehadiran lelaki bernama suami amat diperlukan untuknya bergerak ke sana sini. Menurutnya lagi, perkenalan lebih kurang enam bulan di rumah kakak angkat menjadi titik tolak kepada perkahwinan mereka.


"Kami berkenalan lebih kurang enam bulan lepas, kami tak merancang apa-apa pun. Dia peminat setia saya sejak dari dulu lagi.Saya pun layan dia macam peminat. Dari situlah kami selalu berbual dan saling mengenali hati budi. Antara kami saling ada persamaan dan kami juga satu keturunan iaitu Yaman. Dia banyak memenuhi kriteria seorang imam dan suami. Kalau kata 100 mungkin 90 ada pada dia. Itu yang buat saya terbuka hati untuk berumah tangga lagi.

"Kebetulan namanya pun hampir sama dengan nama bapa saya, Sheikh Mohamed. Suami berasal dari Johor tapi menetap di Kuala Lumpur. Dia pesara tapi sekarang menjalankan perniagaan. Dulu peminat tapi lama-kelamaan ada perasaan. Orangnya sangat 'gentleman' memulakan semuanya. Kami masing-masing sibuk. Jadi, kami cari tarikh dalam bulan puasa juga untuk ambil berkat. Tarikh ini (semalam) saja yang lapang.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah kawan-kawan pun semua suka dengan pilihan saya dan bagi lampu hijau. Tak dinafikan sebelum ini ramai juga nak pikat saya. Biasalah kita artis. Apapun ini semuanya urusan Allah. Sebenarnya kalau ikutkan, memang rasa serik nak berumahtangga lagi dan rasa selesa hidup seorang, bersama anak-anak dan cucu. Kita rasa kalau boleh tak nak dah. Tapi saya tak menolak jodoh. Itu urusan Allah dan kalau Allah kata jadi, jadilah. Ikut saja aturannya," kata Siti Fairuz yang mempunyai lima anak dan empat cucu, manakala suaminya juga lima anak dengan 11 cucu.

Difahamkan, Siti Fairuz yang turut popular dengan lagu seperti 'Usah Bertanya Lagi', 'Wajah Cinta', 'Sebutan Tak Bermakna' dan banyak lagi itu akan meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum ke Johor dan Kuantan, Pahang untuk memperkenalkan diri kepada keluarga masing-masing. Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi selepas Aidilfitri nanti.

Pada 14 Julai 2008, Siti Fairuz yang pernah mengambil keputusan bersara daripada dunia nyanyian selepas mendirikan rumah tangga pada 1990 itu berpisah dengan suami, Mohamad Zainuddin Kordi dan membuat kemunculan semula dalam arena nyanyian. Selepas itu, siti Fairuz dikatakan bernikah dengan Mahmud Abdul Samad pada 9 September 2011 tetapi turut berakhir dengan perceraian.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: