05 May 2023

AL- FATIHAH - PELAKON 'GERAK KHAS', JEFF HASSAN KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pada jam 2.25 pagi semalam, pelakon yang cukup sinonim dengan peranannya sebagai polis dalam drama rantaian popular, 'Gerak Khas' terbitan Skop Production iaitu Jeff Hassan, 56, dilaporkan telah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Segamat, Johor.

Berita pemergian Allahyarham Jeff disahkan oleh rakan artis yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi ketika dihubungi, semalam, dengan menjelaskan pemergian arwah Jeff yang begitu aktif dalam persatuan termasuk bidang lakonan begitu dirasakan terutama bagi penggiat industri seni.


"Arwah adalah ahli yang aktif dalam persatuan termasuk bidang lakonan. Selalunya arwah akan dapat watak seperti polis, ahli perniagaan dan pelbagai lagi. Jadi, kita kehilangan seorang penggiat seni yang sangat aktif bukan sahaja dari sudut lakonan, malah kebajikan," katanya.

Dalam pada itu, rakan artis lain iaitu Halimatussa'diah Mohd Daud atau mesra disapa Mak Wan memberitahu, dia tidak mengetahui Jeff mempunyai penyakit kerana sering dilihat berada dalam keadaan sihat.Mak Wan yang sering bekerjasama dengan Jeff itu menyifatkan Allahyarham seorang pelakon yang baik dan berbakat.

Klik untuk gambar besar



"Dulu saya selalu juga bekerjasama dengan dia tapi saya tidak tahu pula dia pernah sakit sebab nampak dia sihat sahaja. Dia bagus berlakon. Dia selalu buat hal dia sendiri tak kacau orang lain. Dia akan menilik skrip dia dan tidak mencampuri urusan artis lain," ujarnya.

Jenazah Allahyarham Jeff atau nama sebenarnya, Muhammad Jefrey Hassan yang juga sering muncul dengan membawa watak imam termasuk sudah membintangi pelbagai drama itu disolatkan di Masjid Bandar Putra, Segamat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jawa, Segamat, Johor, jam 8 pagi semalam.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: