27 May 2023

KONGSI FOTO TANPA TUDUNG DI HARI LAHIR KE-39 - NADIA ANNUAR MINTA JANGAN SALAHKAN KELUARGA



Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-39 tahun pada Khamis, pengacara Nadia Annuar telah memberi ucapan dan dalam masa sama membuat kejutan apabila memuat naik foto dirinya tanpa mengenakan tudung.
Nadia yang merupakan anak kepada usahawan Zaiton Hassatau lebih dikenali sebagai Kak Ton, turut mengakui kelemahan diri dan berharap agar diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.

"Alhamdulillah bertambah lagi setahun usia saya. Apa yang kita anggap sebagai kekuatan terbesar kita juga boleh menjadi kelemahan terbesar kita. Saya telah melalui banyak fasa dalam kehidupan ini.

"Walaupun segala keburukan itu saya anggap sebagai kekurangan diri, saya harap agar Allah terus mengurniakan saya kekuatan untuk menjalani kehidupan ini dengan cara yang Dia kehendaki," tuturnya.

Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Harris Annuar ini mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon agar diberikan ruang serta masa buat dirinya, selain memohon maaf sekiranya tindakannya ini menimbulkan rasa kurang senang peminat dan netizen.

"Tak mengapalah kecamlah sepuas hati. Saya reda sebab semua ini kekhilafan saya sendiri. Saya pun tak mahu bagi alasan sebab kita semua pun tahu apa yang wajib. Cuma saya minta diberikan sedikit ruang dan masa.

"Maafkan saya sekiranya kekhilafan saya ini membuatkan anda kurang senangdan benci kepada saya," katanya yang berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada malam Khamis.
Jelas Nadia, terlalu banyak perkara yang dilalui olehnya sebelum ini dan meminta agar ahli keluarganya tidak dipersalahkan kerana apa dilakukan ini adalah atas keputusannya sendiri.

Tambah Nadia atau nama penuhnya Nadia Shahrul Annuar, ibunya itu telah membesarkannya dengan baik serta memberikan nasihat, begitu juga dengan adiknya.

"Terlalu banyak yang saya lalui dan tak dapat saya kongsikan. Sekali lagi saya minta maaf kerana kecewakan anda. Satu lagi saya minta sangat jangan kaitkan dengan ibu atau ahli keluarga yang lain. Bukan salah mereka. Ini semua adalah keputusan saya sendiri.

"Ibu saya seorang insan dan ibu yang hebat. Dia sudah membesarkan saya dengan baik dan menasihatkan saya. Malah adik saya juga sudah memberi nasihat. Anda boleh letakkan kesalahan ini pada saya dan jangan kecam mereka. Saya insan yang tidak sempurna," ujarnya.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: