20 May 2023

SELAMAT BERTUNANG DENGAN JURUTERBANG - AMENG TAK SANGKA ANAK BAKAL KAHWIN 15 JULAI INI



Hari ini telah berlangsungnya majlis pertunangan anak kepada penerbit terkenal, Datuk A Aida dan bekas suami, Ameng iaitu Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, 27, yang diadakan di pusat peranginan, D' Manggis Janda Baik, Pahang, di sini.
Jelas Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 55, dia merestui pertunangan itu kerana bakal menantunya itu seimbang dunia dan akhirat.

"Saya tahu mereka dah berkawan lama. Sekejap putus, sekejap kembali bersama. Zain sememangnya seorang lelaki yang baik. Seimbang dunia akhirat. Seimbang dunia akhirat sebab benda pertama yang saya soal atau tanya dia adalah sama ada dia mampu baca surah al-Fatihah dengan sempurna.

"Alhamdulilllah, dari segi agama memang dia tidak mempunyai masalah langsung. Saya memang 'berkenan' dan tahu dia mampu menjaga anak saya dengan baik," ujar Ameng yang juga penyanyi kumpulan Spring.

Klik untuk gambar besar

Selain itu, Ameng berkata, dia tidak menjangka Aleesa ingin bergerak ke fasa menjadi seorang isteri sebelum mencecah usia 30 tahun.

"Saya tak sangka dia ingin berkahwin secepat ini sebab dia jenis terlalu obses belajar. Saya ingatkan dia tidak mahu berkahwin disebabkan pengalaman yang terjadi antara saya dengan ibunya sebelum ini," tuturnya.

Sementara itu, A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang tidak dapat menahan air mata kerana anaknya kini menuju fasa seterusnya dalam kehidupan.
"Kita sudah jaga dia dari kecil. Tiba-tiba, dia akan dilepaskan menjadi milik orang. Selama ini, dia pergi mana kita akan ambil tahu. Tidak lama lagi dia akan menjadi milik orang sepenuhnya.

"Nanti, dia sudah tidak tinggal dengan saya. Kalau diikutkan memang saya tak nak lepaskan, tapi ini semua adalah fasa kehidupan yang saya perlu hadapi. Untuk kebaikan dia juga," katanya.

Majlis pertunangan Aleesa dan Zain Azrai dihadiri lebih 200 tetamu terdiri dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat kedua-dua pihak. Pasangan itu bakal bernikah pada 15 Julai depan di lokasi sama.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: