02 June 2023

AKUR & REDA DIPECAT SEBAGAI CEO FINAS - PROF DR MD NASIR RASA DIRI DIZALIMI



"Saya membuat sidang media ini untuk membersihkan nama dan tidak mahu pemecatan saya yang berlaku serta-merta dikaitkan dengan masalah integriti dan salah laku kerana rekod kerja saya bersih tanpa kesalahan jenayah.
"Cuma, saya agak terperanjat ketika menerima surat penamatan perkhidmatan yang berkuatkuasa serta-merta hari ini (semalam) daripada Pengerusi Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman pada jam 4.30 petang semalam (kelmarin) tanpa alasan.

"Apabila ditanya kepada beliau (Kamil), saya diberitahu ia berdasarkan arahan daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Jadi, saya akur dan menerimanya dengan reda," kata Prof Dr Md Nasir Ibrahim, 64, berhubung pemecatan dirinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Pada sidang media khas diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam, Md Nasir tampil menjelaskan pemecatannya dalam tempoh 24 jam tidak membabitkan masalah integriti dan salah laku dirinya.

Klik untuk gambar besar
Tambah Md Nasir, beliau yang terkejut selepas menerima surat penamatan kontrak tugasnya kelmarin itu bagaimanapun akur dan reda apabila hanya dapat berkhidmat selama setahun tujuh bulan dengan agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Md Nasir berkata, dia turut merasakan dirinya dizalimi kerana tidak diberi peluang untuk berbincang atau membela diri sekiranya keputusan itu membabitkan integriti dan salah laku dirinya, termasuk ada kes jenayah.

"Saya rasa diri dizalimi apabila berlaku keadaan begini. Kalau ada masalah integriti atau jenayah yang dilakukan, saya berhak dipanggil untuk membela diri. Namun, ia tidak berlaku," tutur Md Nasir yang tidak menafikan pemecatan dirinya ada berhubung kait dengan unsur 'kroni' dalam pentadbiran Finas, kerana menganggap ia pasti akan berlaku dalam mana-mana organisasi pekerjaan.
Terdahulu, Md Nasir yang juga bapa pelakon Anzalna Nasir dan Afifah itu memaklumkan beliau menerima surat pemendekan kontraknya sebagai CEO Finas kelmarin yang berkuat kuasa serta-merta mulai semalam.

Md Nasir dilantik sebagai CEO Finas pada 31 Oktober 2021 bagi tempoh dua tahun yang berkuat kuasa mulai 1 November tahun itu sehingga 30 Oktober ini. Pelantikan beliau bagi menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyandang jawatan berkenaan selepas kontraknya berakhir pada 15 Oktober 2021.

Sementara itu, Finas dalam kenyataan dikeluarkan menjelaskan, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan itu agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.

Kenyataan itu juga memaklumkan, dalam tempoh interim (sementara), Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas iaitu Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO berkuat kuasa hari ini, hingga jawatan berkenaan.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: