31 May 2023

FARID KAMIL TAK MAHU LAFAZ CERAI - DIANA DANIELLE NAFI TERIMA CINCIN, MINTA JANGAN GUNA ANAK-ANAK



Berhubung prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, semalam, peguam syarie yang mewakili pelakon dan penyanyi Diana Danielle, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan, anak guamnya itu masih dengan pendirian untuk tidak meneruskan perkahwinan ini, namun suaminya, pelakon Farid Kamil bagaimanapun enggan melafazkan talak walaupun selepas diminta oleh mahkamah.
"Prosiding hari ini gagal dan menemui jalan buntu. Tadi, mahkamah sudah bacakan pendapat daripada JKP. Memang pendirian plaintif jelas, dia tak mahu teruskan dengan perkahwinan dan nyatakan sebab-sebabnya. Defendan pun dah jelaskan daripada pihaknya. Kemudian, saya pohon kepada mahkamah untuk minta dia lafazkan cerai, tapi dia tak setuju.

"Jadi, hakim dah rujuk perkara ini kepada hakam keluarga atau hakam islah. Ini sekali gus memerlukan satu lagi proses rundingan. Jadi, kita akan lihat hasilnya dan kalau berjaya, dia akan lafazkan cerai. Kalau dia masih enggan, kita akan serahkan kepada hakam mahkamah dan mahkamah akan minta wakil kepada suami untuk lafaz," katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu, mahkamah semalam memutuskan wujud shiqaq kerana kedua-dua pihak tidak tinggal bersama.

Klik untuk gambar besar
"Selepas mahkamah meneliti kesemua perkara, kita ada bangkitkan mengenai isu shiqaq. Mahkamah putuskannya berdasarkan kepada kedudukan pihak-pihak terbabit yang sudah tidak tinggal bersama. Mahkamah akan menasihatkan Farid untuk melafazkan talak, namun, dia masih tetap dengan pendiriannya untuk menyelamatkan rumah tangga," maklumnya.

Diminta mengulas mengenai nusyuz yang difailkan pada 6 April lalu, Farid menjelaskan, dia tidak berniat untuk memburukkan lagi keadaan. Ini kerana kata Farid, mengenai shiqaq yang wujud, dia akan terus mempertahankan rumah tangganya.

"Seperti yang semua sedia maklum, tuntutan itu saya buat bukan kerana ingin memburukkan keadaan. Tapi, saya sebagai suami yang mana, di dalam hukum hakam Islam, ada hukum tertentu yang boleh diguna pakai dari sudut hak seorang suami. Seperti yang saya katakan, ia masih dalam perbicaraan, yang mana, shiqaq berpanjang itu, kita tak tahu apa yang dipanjangkan.
"Pada pendapat saya, mudah saja. Kita ada proses mahkamah dan selepas ini proses hakam. Jadi, selepas ini saya akan lantik wakil hakam untuk memanjangkan hasrat saya sebagai suami bagi mempertahankan rumah tangga saya dan isteri saya. Supaya kami kembali semula," katanya.

Sementara itu, Diana menerusi hantarannya di Instagram Story itu tampil menyangkal kenyataan suaminya, Farid Kamil yang memaklumkan dia sudah menerima barang kemas yang diberikan melalui anak mereka, selain menegaskan bahawa dia tidak selesa dengan situasi yang berlaku.

"Sebenarnya, saya tak terima 'lapan cincin' itu. Dia (Farid) berikannya kepada anak lelaki saya dan memintanya untuk menyerahkan kepada saya. Saya rasa tak selesa mengenainya, tapi, saya buat keputusan untuk tidak berikan sebarang reaksi.
"Saya tak pernah mengucapkan terima kasih sebab saya menolak cincin-cincin itu melalui peguam saya. Tapi, dia gunakan anak saya untuk serahkan kepada saya. Jadi, sekarang, dah alang-alang kita terbuka mengenainya, tolong jangan berikan sebarang hadiah melalui anak-anak lagi," tulisnya.

Terdahulu, Farid memaklumkan bahawa Diana menerima barang kemas yang diberikan melalui anak-anaknya, Muhammad dan Nur Aurora.

"Cincin pun sudah diterima. Lapan barang kemas pun sudah diterima. Dia ucapkan terima kasih dan dia sudah terima dua kali. Satu melalui Muhammad dan satu lagi melalui 'Princess' Aurora. Ucapan terima kasih pun dituturkan kepada anak-anak," tuturnya.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: