14 June 2023
BAKAL LAHIRKAN ANAK KEDUA - NEELOFA HARAP 'PRIVASI' KALI INI DIHORMATI
"Nak kata terlalu bimbang tidaklah... Cuma, seboleh-bolehnya saya nak perkara itu (dedah wajah anak) dibuat atas kehendak sendiri. Bukanlah nak sorok atau tak mahu orang lain tengok wajah anak, bukan begitu. Adalah sebab-sebabnya dan kita percaya secara realitinya adalah sah. Jika ada ibu bapa lain yang mendengar pendapat ini, saya percaya mereka juga bersetuju bahawa ia adalah hak masing-masing.
"Kalau boleh cakap sebagai seorang ibu, saya harap sangat orang ramai boleh faham dan menghormati keputusan kami. Dalam kes saya, mungkin disebabkan banyak mata memandang dan perhatian yang diberikan terhadap saya menyebabkan tempiasnya turut terkena pada anak. Sebelum wajah Bilal tular, kami tetap bawa dia berjalan-jalan, tak adalah nak sorok atau tutup mukanya dengan guni.
"Kalau ada peminat ternampak, mereka masih ada perasaan hormat dan tidak merakamkan foto dan atau tularkan dalam media sosial. Mereka sudah sedia maklum dengan pendirian kami yang akan berkongsi foto Bilal bila tiba masanya nanti," itulah kata selebriti popular, Noor Neelofa yang menjelaskan dia dan suaminya, PU Riz memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak mereka, Muhammad Bilal kerana mahu melindungi bayinya itu daripada terkena penyakit Ain.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor, turut berkongsi perkembangan Bilal yang sudah menginjak usia 16 bulan, dimana dia mengakui seronok kerana anaknya itu sudah boleh diajak bermain.
"Usia Bilal sekarang setahun empat bulan dan membesar dengan cepat. Dia sudah pandai usik-usik, menyorok dan boleh diajak bermain. Seperkara yang membuatkan kami teruja setiap kali saya dan suami solat berjemaah, Bilal akan duduk atas sejadah dibentang bersebelahan bapanya itu.
"Daripada Bilal tak boleh berjalan, saya akan meletakkannya sebelah suami setiap kali bersolat. Dan nampaknya bila Bilal semakin membesar, boleh berjalan dan sudah terbiasa dengan rutin ini," ujar Neelofa memberitahu, dia dan suami belum bersedia untuk berkongsi jantina anak kedua kepada umum, meskipun sudah mengetahuinya.
Selain itu, Neelofa yang bakal melahirkan cahaya mata kedua dalam tempoh terdekat ini sekali lagi memohon pengertian agar menghormati pendirian mana-mana ibu bapa yang belum bersedia mempamerkan wajah anak untuk tatapan pengikut dalam media sosial. Tambahnya, dia memahami kehendak peminat yang begitu teruja melihat cahaya matanya, namun apa yang didambakan adalah kesabaran menantikan detik itu.
________________________
No comments:
Post a Comment