17 July 2023

KEMUKA REPRESENTASI - BOY IMAN TETAP LAWAN SAMPAI MENANG



"Saya ada hak, jadi saya lawan. Kalau saya salah lainlah. Lawan tetap lawan, sampai menang. Saya memang nak gugurkan kes ini sebab saya tak bersalah," itulah kata pelakon dan penerbit, Boy Iman, 43, ketika ditemui media di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Dalam sebutan semula kes, Boy Iman serta seorang pengurus syarikat, Nor Azmi Jantan, 49, yang didakwa atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak di Festival Hooray X Fest Raya pada April lalu akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan itu.

Jelas Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, dia ada hak untuk membela dirinya kerana tidak bersalah. Tambahnya lagi, mereka selaku orang kena tuduh (OKT) hanya bekerja dalam syarikat berkenaan dan tidak patut pekerja yang kena menanggung pertuduhan.

Klik untuk gambar besar
Peguam mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, dan juga Nor Azmi, iaitu Johan Ariff Salim Khan berkata kepada mahkamah, pihaknya akan memfailkan representasi kepada pihak pendakwaan dalam tempoh masa terdekat ini.

"Pihak kami baru saja dilantik. Oleh itu, kami akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah," tuturnya.
Terdahulu, sebutan semula kes itu didengarkan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh 28 Ogos depan bagi sebutan untuk semua kes.

Bagi peguam Muhamad Izhar Azmi yang mewakili dua lagi tertuduh kes sama iaitu Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, berkata pihaknya sudah mengemukakan representasi berkaitan pertuduhan itu kepada pihak pendakwaan pada 13 Julai lalu.
Pada 25 April lalu, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan 'booth' atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, sehingga menyerahkan RM1,500 pada 2.34 pagi, 19 April lalu di WTC.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: