24 July 2023

"SAMPAI SEKARANG BELUM LAGI RASA SELESA... ADA MASA-MASA RASA SAKIT" - ZAMANI



"Saya fikir selepas pembedahan dan proses itu ia akan 100 peratus okay. Sampai sekarang belum lagi rasa keselesaan 100 peratus itu. Doktor tak jamin juga tapi memaklumkan perkara itu takkan beri kesan terhadap rutin harian.
"Saya sudah tanya pun kalau rutin harian boleh buat, dia cakap okay," ujar penyanyi Zamani, 52, yang menjelaskan, dia belum merasai keselesaan seperti diharapkan selepas pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang melengkung akibat penyakit skoliosis sebelum ini.

Menurut penyanyi kumpulan Slam itu, ada masanya dia akan merasa sakit pada kedua belah pinggulnya yang dimasukkan besi sokongan. Meskipun begitu, Zamani akui tidak menyesal, malah katanya, dia lebih bersyukur dapat menjalani pembedahan itu walaupun masih berdepan kesakitan sekali-sekala.

Klik untuk gambar besar
"Tapi tak adalah sakit yang tak boleh tahan. Setakat ini kalau berdiri sepanjang masa persembahan, Alhamdulillah masih boleh, tak mengganggu. Sebelum ini memang tidak rasa sakit tapi keadaan fizikal itu tak cantiklah kan. Macam sekarang ini okay, cuma ada masa-masa rasa sakit. Sekarang ini saya sudah agak terbiasa juga dengan sakit itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Zamani juga kurangkan mengambil tawaran persembahan menjelang Konsert Slam NurKasih yang akan berlangsung pada 8 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur, di sini.

"Saya berdepan masalah tekak sewaktu konsert di Singapura tempoh hari kerana terlalu penat dan masih ambil tawaran persembahan yang banyak sebelum itu. Untuk konsert ini, saya cuma mahu fokus kepada latihan saja dan cuba elakkan diri daripada berdepan rasa letih melampau. Harapnya kami akan dapat beri persembahan memuaskan nanti," katanya.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: