"Sebenarnya saya melakukan pembedahan bariatrik ini kerana mempunyai masalah kesihatan... saya menghadapi masalah seperti sakit tumit dan sakit lutut. Alhamdulillah, doktor sudah memperbaiki ulu hati saya yang longgar dan kantung perut agar saya tidak makan berlebihan.
"Apabila berat badan berlebihan, kita rasa tak selesa nak berjalan... cepat penat. Jadi, saya melakukan pembedahan ini dan syukur semuanya berjalan lancar," demikian jelas pelakon Zarina Zainuddin, 53, yang selamat menjalani pembedahan bariatrik di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada Rabu.
Kata Zarina, dia memutuskan untuk menjalani pembedahan bariatrik itu berikutan kebelakangan ini, dia berdepan masalah kesihatan termasuk sakit tumit serta lutut dan bimbang jika ia semakin parah di kemudian hari. Malah katanya lagi, terdapat perubahan pada tahap kesihatannya, selain turut berasa cepat penat serta semput apabila menaiki tangga.
Klik untuk gambar besar
"Selama ini, saya tidak sedar ada macam-macam penyakit. Saya cepat penat dan tumit sakit setiap kali memijak. Baru-baru ini, saya demam hampir seminggu. Biasanya, selepas ambil ubat, dalam dua hari sembuh. Namun, kali ini, demam berpanjangan.
"Saya mula risau melihat perubahan kesihatan. Jadi, saya buat pemeriksaan secara menyeluruh," kongsinya yang turut memberitahu, dia juga dikesan doktor memiliki 'cyst' pada buah pinggang, hati dipenuhi lemak dan mengembang serta ulu hati longgar menyebabkan berat badan naik mendadak.
"Ini mungkin faktor usia atau proses pramenopaus. Dari berat 51 kilogram (kg), jadi 67 kg. Disebabkan hendak diet agak susah dan selepas dapatkan nasihat doktor, saya pilih pembedahan bariatrik demi kesihatan," kata Zarina yang turut berkata, bacaan kolestrolnya juga tinggi, selain diberitahu doktor dirinya berisiko mengalami masalah saluran darah tersumbat dan boleh diserang angin ahmar.
"Saya tidak sangka tahap kolestrol sangat tinggi. Sebelum ini, mungkin saya makan sahaja sebab sedap. Tidak sangka, dalaman saya teruk. Saya tidak suka lihat diri lemah dan tidak cerdas," ujarnya yang memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhannya dan akan melalui tempoh berpantang selama dua minggu.
"Saya harap selepas pembedahan, saya kembali cergas dan dan dapat menjalani kehidupan lebih sihat lagi. Jika kurus itu dianggap bonus, saya mohon doa daripada semua agar cepat sembuh. Insya-Allah demi kesihatan saya akan sihat semula... tolong doakan saya cepat sembuh. Sekarang saya berada di rumah dan perlu berpantang selama dua minggu minum susu sahaja... saya akan mengikut segala arahan yang diberikan doktor," tuturnya.
________________________
JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!
-
:: FACEBOOK 2 :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER ::
:: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS ::

No comments:
Post a Comment