"Setiap hari, mak ingatkan kami agar teruskan majlis dan jangan tangguhkan. Pada semua doktor, jururawat di hospital termasuk ahli keluarga dan saudara-mara yang datang melawat pun arwah titipkan pesan agar teruskan majlis kami walaupun dia tiada. Saya pun selalu diingatkan oleh semua doktor dan jururawat yang menjaga emak agar tak lupa pesanan terakhir arwah itu untuk ditunaikan.
"Lagipun, mak memang sayangkan Sha (Shila) sangat dan hubungan antara mereka amat rapat. Sha memang rapat dengan arwah mak. Alhamdulillah, kami berdua setiap hari lawat mak dan menjaganya sepanjang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak awal Julai lagi."
Itulah jelas tunang kepada penyanyi Shila Amzah iaitu pempengaruh media sosial, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, yang memaklumkan, tarikh nikah mereka pada 5 Ogos ini akan diteruskan sebagaimana pesanan terakhir Allahyarham ibunya, Rohani Jamal, 52, yang tidak mahu ia ditangguhkan walau apa pun terjadi.
"Mak juga pesan agar saya jaga Sha dengan baik, ayah, Mohd Zulkefli Yusoff, 54, adik bongsu, Allieya,17, dan keluarga dengan sebaiknya. Mak ada kata, arwah adik saya, Allahyarham Muhammad Azrullah Mohd Zulkefli, 22, mesti selalu dengan dia.
Klik untuk gambar besar
"Rupanya mak juga meninggalkan kami sekeluarga selepas dua bulan adik meninggal dunia akibat kemalangan," kata Ubai yang turut mengakui akan tabah menghadapi ujian berat berhadapan kehilangan dua insan tersayang, adik dan ibu pada tahun ini.
Sementara itu, Shila turut berkongsi video kenangannya bersama arwah ibu tunangnya dimana dia memberitahu, Allahyarham juga paling teruja menantikan tarikh perkahwinannya dan Ubai termasuk berkeinginan menyiapkan persiapan majlis dan hantaran mereka, namun sedar keadaan kesihatannya tidak mengizinkan akibat sakit.
"Semua orang yang nak bernikah, buat video 'counting days' (menghitung hari). Dari bulan, ke minggu, ke hari, tapi saya dan Ubai ulang-alik ke hospital hampir setiap hari demi mak. Kita tak banyak gambar 'together' (bersama) mak, tapi saya sangat bersyukur walau sebelum jadi menantu mak dah layan macam anak sendiri, keluh kesah saya semua mak pujuk," tulis Shila di laman Instagram.
"Dari adik (adik Ubai) meninggal dua bulan lepas, mak tetap jadi yang paling kuat. Kami pun tak mampu sekuat mak untuk semua yang mak pernah lalui. Mak cakap, kita yang hidup ini perlu teruskan kehidupan. Hargai siapa yang masih ada didepan kita. Dalam kehilangan anak pun, masih tetap nak bagi semangat pada orang lain," ujar Shila yang kagum dengan semangat arwah bakal ibu mentuanya yang sentiasa kuat dan positif walaupun kehilangan anak.
"Mak bagi kad kahwin pada semua orang, satu hospital dah tahu bila tarikh nikah kami. Mak juga pesan kat semua, apa-apa jadi teruskan majlis, jangan tangguh. Macam mana Sha nak kuat ni mak? Sha sayang dan akan rindu mak sangat-sangat. Al-Fatihah," tuturnya yang turut berkata, arwah juga berpesan kepadanya agar membantunya menjaga adik bongsu Ubai, Allieya yang masih bersekolah menengah dengan baik, penuh kasih sayang dan beri sokongan pada pembelajaran dan aktiviti di sekolahnya.
Terdahulu, ibu Ubai telah meninggal dunia pada jam 6.45 petang kelmarin akibat kanser ovari dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Subang Jaya, jam 11.30 malam kelmarin.
________________________
JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!
-
:: FACEBOOK 2 :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER ::
:: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS ::

No comments:
Post a Comment