05 August 2023

MESKIPUN MASIH BERDUKA - SHILA AMZAH & UBAI KINI SAH BERGELAR SUAMI ISTERI



Akhirnya pasangan penyanyi Shila Amzah, 33, dan pempengaruh media sosial, Ubai atau nama penuhnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zukfelfi, 25, telah pun sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 10.27 pagi Sabtu, selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan.
Meskipun masih berduka selepas kehilangan ibu tercinta, Rohani Jamal, 52, yang meninggal dunia pada 30 Julai lalu akibat kanser ovari, Ubai dan Shila tetap meneruskan majlis pernikahan mereka, sebagaimana pesanan terakhir Allahyarham yang tidak mahu ia ditangguhkan walau apa pun terjadi.

Pasangan mempelai yang kelihatan anggun dan kacak dalam persalinan sedondon berona putih rekaan Zaimi Zulkafli ini dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, penyanyi dan pelakon Datuk Amir Amzah Salleh atau lebih dikenali ND lala, dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Darul EhsanTaman Tun Razak Ampang, Mohamad Khairi Hussein.

Klik untuk gambar besar
Dalam majlis yang diadakan di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur itu menyaksikan Ubai menyerahkan RM20,000 sebagai mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Manakala, pengantin perempuan pula menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang hantaran oleh pihak lelaki.

Sementara itu, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila status mereka sebagai tunang sebelum ini kini sah bergelar suami dan isteri.
"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah atas kelancaran majlis pernikahan kami pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT... Insya Allah. Harapan saya semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling sayang menyayangi hingga ke syurga," katanya.

Dalam pada itu, Ubai berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa, selain berdoa agar masjid yang dibina bersama Shila kekal sehingga ke akhir hayat.
"Insya-Allah sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah terbaik untuk Shila dan Seth. Doakan semoga ikatan perkahwinan kami terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat," ujar Ubai yang turut memberitahu dia dan Shila belum ada sebarang perancangan lokasi berbulan madu memandangkan keduanya sibuk dengan kerja.

"Disebabkan kekangan kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu. Namun mungkin akan ada percutian pendek di dalam negara terlebih dahulu," jelasnya.
Majlis bertemakan rona putih itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan pernikahan pasangan berkenaan.Antara rakan artis yang hadir termasuk Marsha Milan, Amylea Azizan, Jaclyn Victor, Fara Fauzana, Zara Zya, Jihan Muse dan ramai lagi.

Difahamkan, pasangan ini akan diraikan dalam dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan keluarga, rakan artis dan rakan kongsi dari pelbagai negara.
Pada 27 Mei lalu, Shila yang dikatakan rapat dengan Ubai pada awal Februari lalu dan mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta itu mengikat tali pertunangan dengan Ubai yang diraikan dalam sebuah majlis tertutup dihadiri hanya rakan rapat dan saudara terdekat.

Untuk makluman, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian pada Februari 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: