29 September 2023

'MUHAMMAD ZULFIRAS' - NAMA PILIHAN MIN YASMIN, JULFEKAR UNTUK ANAK SULUNG



Umum sedia maklum, penyanyi Min Yasmin atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz, 34, selamat melahirkan bayi pra-matang ketika usia kandungan mencecah 30 minggu pada 16 September lalu berikutan keadaan darah tinggi tidak terkawal.
Terkini, suami kepada Min iaitu komposer Julfekar telah mengumumkan nama bayi sulung mereka yang diberi nama 'Muhammad ZulFiras'.

Kata Julfekar, pengumuman berkenaan dibuat bersesuaian melihat keadaan isteri yang semakin pulih selepas menjalani pembedahan kedua Isnin lalu bagi membuang darah beku pada bahagian bekas pembedahan sewaktu bersalin.

"Alhamdulillah selepas Min selamat menjalani pembedahan untuk kali kedua dan dibenarkan pulang semalam, kami mahu mengumumkan nama diberikan buat anak sulung kami adalah Muhammad ZulFiras Bin Julfekar.

"Nama berkenaan dilihat yang terbaik selain membawa maksud keseluruhan 'yang terpuji' dan 'yang memiliki kecerdikan akal'.

Klik untuk gambar besar
"Pangkal nama Zul dan pemilihan huruf 'F' adalah sama dengan empat orang anak saya hasil perkahwinan terdahulu iaitu ZulFikri, ZulFadhli, ZulFazlin dan ZulFazliani.

"Semoga anak kami akan terus diberikan kesihatan, akhlak yang terpuji dan mampu menjadi seorang pewaris terbaik buat keluarga, agama dan negara," tutur pencipta lagu 'Untuk Selamanya' nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

Menerusi perkembangan sama, Julfekar turut berkongsi mengenai keadaan terkini putera sulungnya, dimana bayi tersebut masih perlu diletakkan di dalam inkubator, selain harus menjalani pemantauan pihak hospital.

Bagaimanapun, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dirinya dan isteri dibenarkan melawat anak mereka selama 10 minit setiap hari.
Sementara itu, Min Yasmin meluahkan rasa syukur apabila dapat melalui pembedahan kedua dengan selamat dan kini memberi fokus kepada proses kesembuhan, selain mahu menumpukan perhatian kepada pembesaran anak sulungnya itu.

"Alhamdulillah... Min sudah selamat menjalani pembedahan buat kali kedua Isnin lalu selepas sembilan hari melahirkan Muhammad ZulFiras. Ada darah beku di dalam perut pada bahagian bekas pembedahan ketika bersalin tempoh hari.

"Darah beku itu perlu dikeluarkan kerana doktor pakar bimbang ia boleh mendatangkan kemudaratan lain sekiranya dibiarkan. Terima kasih kepada semua peminat, keluarga dan rakan-rakan yang tidak jemu-jemu mendoakan kesejahteraan Min.

"Semoga Min cepat sembuh dan seterusnya boleh memberi fokus untuk pembesaran terbaik buat anak kami," kata penyanyi lagu 'Masi Malasa' itu yang menjalani pembedahan selama sejam 10 minit di Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK) Sabah.

Terdahulu, penghibur yang cukup terkenal di Filipina itu selamat melahirkan anak sulung lelaki secara pembedahan, sekitar jam 7.49 malam, pada sambutan Hari Malaysia iaitu 16 September lalu di HWKK Sabah.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: