14 October 2023

PELAKON 'PI MAI PI MAI TANG TU' - SABRI YUNUS, ANGELINE TAN KINI SUAMI ISTERI



Pelakon sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' iaitu Sabri Yunus, 62, dan Angeline Tan atau nama Islamnya, Ardini, 56, telah pun selamat bergelar suami isteri, dalam satu majlis tertutup yang diadakan pagi tadi.
Tampil mengayakan persalinan sedondon rona putih, pasangan ini dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.

Majlis pernikahan Sabri dan Angeline turut disiarkan melalui siaran langsung Facebook (FB), sehingga ia menjadi tular di media sosial.

Sabri yang menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas dalam majlis nikah tersebut berkata, dia dan Angeline sudah tiga tahun merancang mendirikan rumah tangga, namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam pada awal Oktober.

"Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.

Klik untuk gambar besar
"Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.

"Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Sabri turut meluahkan rasa syukur anak dan keluarga merestui mereka untuk mendirikan rumah tangga, namun apa yang penting adalah buat isterinya untuk menerima agama baru.

"Alhamdulillah, anak-anak kami merestui. Malah, keluarganya juga hadir ke majlis pernikahan kami. Saya berharap agar doa-doa yang baik daripada kalian dimakbulkan.
"Banyak perkara yang mungkin dia (Angeline) tak tahu. Berilah peluang kami berdua belajar. Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat," tuturnya.

Untuk makluman, Sabri dan Angeline digandingkan buat kali pertama menerusi drama 'Pak Din KK' pada 1992. Ketika itu, Angeline menganggapnya sebagai guru dalam lakonan.

Mereka kemudian meraih populariti menerusi sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu'. Dalam sitkom itu, mereka mengalas watak Wan Ismail Golok dan Lucy.

Mengenai kehidupan peribadi, Sabri sebelum ini telah kehilangan isterinya, Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara Angeline pula, dia memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: