23 October 2023

SELAMAT AKHIRI ZAMAN DUDA - FIZI ALI PILIH RAKAN NIAGA SEBAGAI ISTERI



"Alhamdulillah syukur. Bermula satu perjalanan baru dalam hidup kami. Terima kasih semua yang mendoakan yang baik untuk kami. Semoga doa yang baik kembali semula dekat kalian."
Demikian tulis penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 34, yang memaklumkan, dia telah pun selamat menamatkan zaman duda dengan wanita pilhannya yang merupakan rakan niaga, Siti Zulaiikha atau Tiz Ikha, 30, pada 10 pagi hari ini.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Fizi menerusi hantaran di Instagram miliknya, dimana dia meluahkan rasa syukur segalanya dipermudahkan, selain turut berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isteri.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Hot FM, Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Ali berkata, perkenalannya dengan isteri terjadi secara kebetulan.

"Kami mulanya hanya rakan bisnes, tetapi akhirnya menemui titik keserasian. Isteri adalah insan paling rapat dan menjadi pendorong untuk saya lebih semangat ketika berdepan detik sukar.

Klik untuk gambar besar
"Dari situ, kami temui titik keserasian dan ambil keputusan cuba kenal hati budi. Dengan berkat doa ibu bapa akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri," tuturnya.

Jelas Fizi, keputusan mengadakan majlis secara sederhana dilakukan atas persetujuan antara kedua-dua pihak.

"Kami bertunang beberapa bulan lalu, tetapi ambil keputusan berdiam diri. Ini kerana kami bimbang perancangan tidak menjadi kenyataan.

"Namun, saya pasti berkongsi bila tiba tarikh kami disatukan dalam ikatan yang sah. Jadi, kami memilih hari ini kerana tarikhnya cantik, iaitu 23 Oktober 2023," kata Fizi yang sebelum ini mengakui sedang berkawan rapat dengan wanita dikenali sebagai Tiz yang merupakan seorang usahawan.
Dalam pada itu, Fizi meluahkan rasa syukur rezekinya bertemu dengan wanita yang turut memiliki anak perempuan sepertinya.

"Alhamdulillah, anaknya, Ameena Sofia selesa dan mula menerima isteri. Mungkin saya pula kena tinggal seorang diri di rumah kerana Ameena sudah temui teman baik iaitu mama dan kakaknya.

"Doakan saya bahagia bersama isteri, anak dan keluarga untuk harungi pelbagai cabaran bersama. Moga ini juga perkahwinan saya sampai ke syurga jannah, Insya-Allah," ujarnya.

Untuk makluman, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018 dan bercerai selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Nurul Ameena Sofia pada 2019.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: