Baru-baru ini telah tersebarnya berita palsu dan fitnah terhadap keadaan kesihatan pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, yang didakwa semakin teruk.
Berhubung hal tersebut, anak tunggal Connie iaitu Ally Marisha Afrina Abdullah, 24, meluahkan rasa kesal dan berkata, banyak berita tidak benar dilaporkan portal hiburan mengenai keadaan terkini ibunya yang diperkata ramai, lebih-lebih lagi di platform media sosial seperti Tik Tok yang membuatkan dia amat kecewa.
"Saya sekeluarga merasa kesal dan kecewa dengan statement (kenyataan) yang sedang viral (tular) itu. Saya harap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaburkan berita palsu dan fitnah terhadap ummi saya.
"Alhamdulillah operation (pembedahan) ummi saya pada Sabtu lalu, success (berjaya) apabila pasukan doktor dapat membuang nanah di buah pinggang itu sebanyak 400 mililiter (ml).
"Sekarang, ummi saya dalam post recovery (pasca pemulihan) daripada pembedahan yang dijalani itu kerana kuman dalam darahnya masih ada dan doktor sedang merawatnya," jelasnya.
Tambah Ally lagi, keadaan ibunya sekarang masih boleh bangun dan berdiri sendiri, walaupun dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan akibat masalah buah pinggang bernanah itu.
Klik untuk gambar besar
"Ummi saya kini masih boleh bangun dan berdiri. Jadi, saya harap berita yang berbaur fitnah dan palsu sebegini tidak lagi diuar-uarkan sewenang-wenangnya. Tolonglah hormati perasaan kami sekeluarga," katanya.
Sebelum ini, dilaporkan pelakon filem 'Tujuh Biang Keladi' itu selamat menjalani pembedahan bagi membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya di HTJ pada Sabtu lalu, selepas dimasukkan ke HTJ untuk rawatan lanjut pada 19 September lalu iaitu setelah 10 hari dibenarkan pulang ke rumah pada 10 September.
Pada Ogos lalu, Connie dimasukkan ke HTJ untuk rawatan selama sebulan kerana masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru dan darah yang dialaminya.
Justeru, dia turut menjalani prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC) di mana saluran dipasang ke urat jantung bagi memudahkan antibiotik dan ubat dimasukkan untuk penggunaan jangka masa panjang.
Connie sebelum ini juga dilaporkan pernah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman pada buah pinggang hingga lumpuh separuh badan pada 2018 lalu.
Cukup popular dan aktif dalam karier lakonannya pada era 1980-an, antara filem lain pernah dibintangi Connie ialah 'Bujang Lapok Kembali Daa', 'Suara Kekasih', 'Marah-Marah Sayang', 'Dendang Remaja' dan 'Guru Badul'.
________________________
JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!
-
:: FACEBOOK 2 :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER ::
:: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS ::

No comments:
Post a Comment