03 October 2023

TERTUNGGAK SEJAK TAHUN LALU - KELUARGA ALLAHYARHAM HAMID GURKHA MASIH BERUSAHA TUNTUT RM10,000 DARIPADA ASTRO



Semua sedia maklum mengenai pemergian Allahyarham Hamid Gurkha yang meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu. Berita pemergian pelakon dan pelawak itu ternyata memberi impak pada industri hiburan.
Terkini, keluarga Allahyarham Hamid Gurkha tampil mendakwa masih menanti wang berjumlah RM10,000 daripada Astro yang tertunggak sejak tahun lalu sehingga sekarang.

Menerusi laporan di Harian Metro, anak ketujuh Allahyarham Hamid Gurkha iaitu Nor Azian memberitahu, bapanya diberikan Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung pada 29 Mei tahun lalu dan menerima wang berjumlah RM10,000.

Jelas Azian, mereka menantikan wang berkenaan masuk, namun sehingga bapanya meninggal dunia, masih belum diterima, sehingga terlupa mengenai wang tersebut.

"Sebulan selepas itu, bapa meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu. Sebenarnya selepas program itu berakhir, kami tunggu duit masuk tapi sehinggalah dia meninggal dunia pun tiada juga. Kami pun macam dah terlupa berkenaan duit itu.

"Kemudian emak ingatkan hal ini dan saya hubungi produksi AME2021 dan diberitahu wang itu ada, namun kami perlu berikan dokumen kematian dan sebagainya.

"Saya berhubung dengan wakil produksi bernama Lala yang banyak membantu. Saya bagi dokumen ini yang diserahkan kepada Jabatan Kewangan dan Undang-Undang, tapi selepas itu mereka diam saja," ujarnya.

Tambahnya lagi, dia ada menghubungi pihak tersebut dan dimaklumkan wang berkenaan perlu difaraidkan kerana telah menjadi pusaka.

"Saya tanya mereka apa perlu kami buat dan mereka kata mahukan surat. Sebenarnya kami dah berbincang adik-beradik dan bercadang nak beri wang ini sepenuhnya kepada emak sebagai tanda kasih sayang.

"Kami tak bercadang nak ambil duit itu dan buat surat kasih sayang mengatakan nak beri kepada emak. Selepas buat dan hantar, mereka diam juga.

Klik untuk gambar besar
"Kemudian Jabatan Undang-Undang beritahu Lala, dokumen ini tak diterima kerana tiada pengesahan mahkamah. Saya seterusnya rujuk kepada pejabat agama dan tanya apa yang perlu dibuat dalam tuntutan faraid," katanya.

Dalam pada itu, Azian berkata, dia diberitahu perkara tersebut tidaklah begitu sukar kerana apabila ianya dipersetujui oleh adik beradik yang lain ia boleh diterima.

"Kemudian mereka sekali lagi kata kena ambil peguam pula. Bagi saya, takkan perkara ini nak kena guna peguam. Agak rumit nak bayar peguam lagi sedangkan wang yang dituntut cuma RM10,000. Kakitangan mahkamah yang kami jumpa pun tak galakkan kami guna peguam dan minta kami angkat sumpah.

"Saya dah ambil nama adik beradik, manakala kakak kedua uruskan angkat sumpah kerana yang sulung dah meninggal dunia. Jadi dia uruskan hantar kepada mereka," tuturnya.

Namun begitu, kata Azian, masalah tersebut nampaknya tiada kesudahan apabila pihak terbabit sehingga kini masih diam membisu. Malah, jelasnya, dia kasihan pada ibunya yang bertanyakan mengenai perkara tersebut.

"Saya masih tunggu keputusan ini sekarang. Kasihan dengan mak dan arwah bapa kerana perkara yang tak selesai ini. Emak sampai bertanya ada atau tiada? Kalau tiada cakaplah tiada, tak payahlah kita nak pening-pening.

"Emak dah lebih 80 tahun, jadi banyaklah dia fikir nak guna duit itu untuk buat kenduri dan sebagainya. Bukan nak cakap Astro tak nak bayar, tapi kalau boleh, kami minta percepatkan proses itu.

"Kami bukan nak doa, tapi berapa lama lagi dia nak hidup. Entah sempat atau tidak dia nak rasa duit itu. Kalau dia tiada lagi susah nak selesaikan benda ini," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima iaitu Norzeha Mohd Salleh memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkenaan dan akan memberikan penjelasan dalam masa terdekat.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: