28 October 2023
TIGA BULAN LAGI - CONNIE DIJANGKA DITAHAN DI HOSPITAL
"Alhamdulillah, luka pembedahan yang dilakukan sebelum ini beransur sembuh. Selepas luka itu sembuh baru doktor akan menjahit atau menutup luka terbabit."
Itulah kata anak kepada pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, Marisha Afrina Abdullah, yang memaklumkan, ibunya ini masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan akibat masalah buah pinggang bernanah.
"Ketika mula-mula ummi menjalani pembedahan, saya memang ambil cuti lama. Namun, selepas ummi sudah boleh bangun sendiri, saya menemani ummi di hospital tiga hingga empat kali seminggu.
"Sekarang ummi sudah boleh makan seperti biasa dan berjalan tapi masih dengan bantuan," kata Ally yang memberitahu, memang dia yang menjaga ibunya sendirian di hospital.
Sementara itu, tambah Ally lagi, dia juga ada memuat naik perkembangan kesihatan ibunya yang dijangka ditahan di hospital dalam tempoh tiga bulan lagi itu di TikTok, minggu lalu.
"Ummi juga ada Facebook, Instagram dan TikTok tetapi buat masa ini berehat dulu dari media sosial untuk fokus pada kesihatannya. Mohon semua peminat untuk mendoakan kesihatan ummi supaya segera sembuh seperti biasa," tuturnya.
Ditanya sama ada pihak persatuan artis ada datang menziarahi, Ally berkata, setakat ini tiada lagi.
"Ummi juga sudah boleh terima pelawat tetapi setakat ini tiada persatuan artis yang datang menziarahi di hospital," jelasnya.
Sebelum ini, Connie dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya sebanyak 400 mililiter di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment