02 November 2023

MINAT TUNGGANG MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI SEJAK BANGKU SEKOLAH - ELIZAD BANGGA DIIKTIRAF 'LADIES OF HARLEY DIVA 2023'



Menerusi perkongsian di laman Instagram, pelakon Siti Elizad telah meluahkan rasa syukur dan bangga apabila diiktiraf 'Ladies of Harley DIVA 2023' sempena Hari Harley Asia yang berlangsung baru-baru ini.
Akui Elizad atau pemilik nama penuhnya, Siti Elizad Sharifuddin, dia meminati bidang permotoran berkuasa tinggi sejak kecil lagi iaitu di bangku sekolah, selepas kerap membonceng motosikal bersama abang-abangnya.

"Baru-baru ini telah berlangsungnya Hari Harley Asia yang mana di acara terbabit semua yang meminati bidang permotoran berkuasa tinggi jenama Harley Davidson berkumpul.

Klik untuk gambar besar
"Tak disangka, saya mewakili Malaysia dipilih sebagai pemenang bagi kategori Harley Diva. Saya sangkakan pemenang daripada negara lain, namun nasib menyebelahi saya.

"Semestinya saya terlalu gembira kerana meminati bidang permotoran ini sejak di bangku sekolah lagi, cuma dulu boleh lihat saja abang-abang saya, selepas habis sekolah baru boleh berjinak-jinak.

"Acara itu berlangsung di Legend Siam, Thailand baru-baru ini. Ia adalah catatan indah dalam diari hidup saya," katanya yang turut mengakui status sebagai isteri tidak menghalang dirinya meneruskan minat menunggang motosikal.
"Ini adalah hobi dan saya selalu pesan pada diri untuk sentiasa menjaga adab wanita ketika menunggang motosikal. Umur dan status bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu diminati asalkan pandai menjaga diri.

"Malah jika dikenang semula, perkenalan saya dan suami juga bermula dengan hobi yang sama. Suami merupakan rakan kepada abang saya dan dari situ bermulalah bibit percintaan kami," jelas Elizad.
Untuk makluman, Elizad mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015. Sehingga kini, mereka belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Elizad memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak sejak 1994. Terbabit dalam ratusan drama dan telemovie selain aktif dalam program TV serta lebih 20 filem.

Selain bidang lakonan, Elizad mula menyertai radio sejak 2019 serta pernah muncul mengacarakan beberapa program TV.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: