04 November 2023

SEKALI LAFAZ - ADI PUTRA GENIUS MATEMATIK SELAMAT BERGELAR SUAMI SITI SARAH



Pada 2 November lalu, genius matematik iaitu Adi Putra Abdul Ghani, 24, telah pun selamat mengakhiri zaman bujangnya bersama wanita pilihan, Siti Sarah Zulkarnain, 27, dengan sekali lafaz, selepas mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.
Berita gembira itu dikongsikan bapa Adi Putra, Abdul Ghani Abdul Wahid menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya.

"Sahlah Adi Putra sebagai Raja Sehari di Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Berkat doa dari tuan, puan, sahabat serta muridnya.. dengan lafaz nikah sekali saja dan kenduri pun berjalan lancar. Alhamdulillah cuaca pun baik di Kota Bharu hari ini, amin," tulisnya.

Klik untuk gambar besar
Difahamkan, majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Lundang, di sini, menyaksikan Adi Putra, 24, memberikan wang hantaran berjumlah RM9,999.99 kepada Siti Sarah.

Menerusi ruangan komen pula, rata-rata netizen mengucapkan tahniah, selain mendoakan kebahagiaan Adi Putra dan Siti Sarah yang bergelar raja sehari itu.
"Alhamdulillah... Selamat pengantin baru untuk Adi dan pasangan. Semoga berbahagia hingga ke Jannah. Tahniah untuk bapa, Abdul Ghani kerana dapat ahli keluarga baru," tulis pengguna FB, Yusri Seman.

Terdahulu, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit).
Ketika berusia enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).

Dalam usaha berkongsi ilmu dan kepakarannya, Adi Putra menubuhkan syarikatnya sendiri yang diberi nama Adimatik Genius Solutions bagi membantu masyarakat untuk menguasai ilmu Matematik.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: