13 November 2023

TERKILAN PRODUKSI BERI HARAPAN PALSU, 6 BULAN TAK ADA 'JOB' - NOORKHIRIAH FIKIR SUDUT POSITIF



"Tahun ini agak mencabar untuk saya dan rakan-rakan lain. Hampir enam bulan saya tiada tawaran lakonan. Memang ada yang bertanya mengenai jadual seni saya, tapi tiba-tiba tak jadi pula nak tawarkan saya berlakon.
"Tapi apabila fikir daripada sudut positif saya anggap setiap yang berlaku ini pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin Tuhan nak saya luangkan masa bersama anak-anak dan suami," ujar pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie.

Dedah Noorkhiriah, 45, karier seninya pada tahun ini agak mencabar apabila sudah hampir enam bulan tiada tawaran lakonan, selain menjelaskan, sepanjang tempoh itu terdapat produksi yang menghubungi bertanyakan jadual seninya, namun ada yang senyap tanpa khabar berita.

Menurut pelakon itu lagi, sikap memberi harapan palsu terutama kepada pelakon senior bukan satu budaya yang baik kerana bukan mudah untuk mereka mencari rezeki dalam bidang itu.

"Saya ingin mohon maaf sebelum saya nak bercakap mengenai isu ini. Sejujurnya saya tak suka budaya ini sebab ia seolah-olah memberi harapan kepada pelakon.

"Malah kalau bercinta pun kita sudah beritahu pasangan supaya jangan memberi sebarang janji sehingga tiba-tiba hubungan itu berakhir. Jadi sama dengan situasi ini.

"Dunia seni ini adalah darah daging saya. Kalau memang saya tiada dalam senarai pelakon, cakap saja tiada. Kalau ada maklumkan.

"Walaupun bercakap jujur itu menyakitkan, tapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada menipu," kata Noorkhiriah yang dalam masa sama mengingatkan syarikat produksi supaya berhenti memberi harapan terutama kepada pelakon veteran yang mencintai kerjaya ini.

"Saya pernah diminta bagi beberapa tarikh untuk penggambaran, tapi bila dah bagi tarikh tiba-tiba mereka minta maaf beritahu nama saya tak lepas untuk projek itu. Bukankah itu sudah beri harapan.

"Mewakili semua kalau boleh jangan buat begitu. Saya tahu rezeki ini Allah yang beri, tapi jangan bermain tarik tali sebab ia amat menyakitkan. Kadangkala saya tersepit dengan situasi begini. Tapi nak tinggalkan kerjaya ini tak mudah sebab saya dah sayang," tuturnya.

Dalam perkembangan terbaru, Noorkhiriah berkata, selepas melalui fasa sukar selama enam bulan, dia bagaimanapun bersyukur apabila dia akhirnya bakal terbabit dengan filem 'Gadis Felai' yang dijangka menemui penonton di pawagam tahun depan.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: