"Alhamdulillah, sekarang saya masih dalam proses rawatan dan pemulihan daripada penyakit radang tulang dan saraf yang dihidapi sudah lama, namun sakit teruk sampai tidak boleh berjalan selama tiga bulan.
"Jadi, memang dah lama juga saya tak berlakon kerana faktor kesihatan diri. Tawaran berlakon masih ada diterima, tetapi saya terpaksa tolak saja semuanya kerana tidak mahu susahkan pekerja produksi.
"Saya sekarang ini nak berjalan pun kaki dah tak kuat, itu yang perlukan kerusi roda untuk bantu bergerak. Apa lagi, memandu kereta memang dah tak boleh dah.
"Nanti kalau saya terima tawaran berlakon itu, dibimbangi menyusahkan dan menambah kerja orang lain pula. Maka, saya buat keputusan biarlah sekarang ini saya merawat diri sampai betul-betul pulih dulu dan yakin rezeki Allah itu sentiasa ada."
Itulah kata pelakon veteran, Mak Jah, 75, yang mendedahkan dia pernah terlantar kerana tidak boleh berjalan selama tiga bulan sebelum ini disebabkan penyakit radang tulang dan radang saraf yang sudah lama dihidapinya.
Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad ketika dihubungi menjelaskan, dia kini masih dalam proses rawatan penyakit radang itu yang memerlukan rehat panjang, sekali gus terpaksa menolak tawaran berlakon yang datang.
Dalam pada itu, ibu tiga anak ini memberitahu, pelakon Datuk Rosyam Nor ada bertanya mengenai tawaran berlakon kepadanya, sebelum menyumbang wang bulanan RM500.
Klik untuk gambar besar
"Beliau (Rosyam) mulanya menghubungi saya beberapa bulan lalu untuk bertanya khabar selepas mengetahui saya kurang sihat dan memang dah lama tidak berlakon. Beliau tanya saya, ada 'job' berlakon lagi tak? Sebab dah lama tidak ke lokasi.
"Saya kata padanya, tawaran berlakon masih ada diterima lagi, cuma, saya tak dapat nak buat sebab tak sihat, kaki pun tak kuat untuk berjalan kerana sakit radang tulang dan radang saraf dihidapi.
"Jadi, beliau kata nanti saya masukkan duit RM500 bulan-bulan untuk belanja. Saya okay kan saja apabila ada rezeki yang orang nak beri sebab memang dah lama pun tak berlakon. Tapi, saya mulanya ingat beliau mungkin bergurau," ujar Mak Jah.
Tidak hanya bantuan kewangan, baru-baru ini, Rosyam juga menghadiahkan kerusi roda elektrik kepada Mak Jah yang tidak memerlukan dia menolak tayar untuk bergerak.
Selain itu, Mak Jah bersyukur, berdoa dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan semua pihak yang sudi membantunya dengan memberi sumbangan, dimana memang digunakan sepenuhnya untuk rawatan kesihatan diri.
Mak Jah yang sudah empat tahun tidak aktif berlakon pada 2016 itu pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas menghidap kanser rahim tahap pertama, namun disahkan bebas daripada penyakit itu pada April 2019.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment