30 December 2023

PELAKON HARUN HASHIM TERHARU DAPAT SUMBANGAN, BANTU BIAYAI PROSES MENGECAT SEMULA KERETA



"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang ringan tangan dan hati menderma untuk kereta saya.
"Saya tak tahu nak cakap apa-apa. Cuma sekali lagi nak ucapkan terima kasih kerana menyumbang," kata pelakon serba-boleh, Harun Hashim, 68, yang agak sebak.

Harun meluahkan rasa gembira dan terharu apabila mendapat sumbangan daripada peminat serta penggiat seni yang membantu membiayai proses mengecat semula kereta jenis Proton Wira miliknya.

Jelas Harun, perkara ini tidak pernah dijangka dan disangka-sangka kerana dia tidak suka meminta-minta serta tidak mengharapkan bantuan mana-mana pihak dalam perkara ini.

Dalam pada itu, Harun turut berkongsi kisah dimana dia membeli kereta terpakai Proton Wira pada 2008 daripada seorang rakan yang ketika itu mengalami masalah kesempitan wang.

"Dia perlukan wang dan kebetulan waktu itu saya menjalani penggambaran drama dengan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan ada duit. Jadi, saya beli kereta ini.

"Keadaan kereta itu banyak juga yang rosak dan saya keluarkan kos yang tinggi untuk baiki semula. Kebetulan ada rezeki berlakon, jadi saya baiki lagi supaya boleh digunakan dengan sempurna.

"Alhamdulillah, dengan kereta itu saya pergi 'shooting' (penggambaran) hingga ke Kedah, Ipoh, Terengganu, Pahang, Perak dan Kelantan.

"Ada yang seakan tak percaya saya gunakan kereta ini untuk berjalan jauh," tuturnya yang dikenali sebagai hero drama Melayu era 80-an dan diingati ramai dengan watak Cikgu Shahrin menerusi drama Pa'e pada 1997

Harun yang kini menetap di Bukit Kapar, Selangor, berkata, sukar untuk menggantikan kereta terpakai Proton Wira miliknya itu dengan kereta lain kerana dia amat sayangkannya.

"Selalu bercakap dengan kereta seorang diri, janganlah buat hal dan dia seakan memahaminya. Pendek kata masa susah dan senang ia sentiasa bersama saya," ujarnya.

Difahamkan, selain berlakon, Harun kini membantu isterinya menguruskan perniagaan kecil-kecilan antaranya menjual kerepek, kuah pecal, yong tau fu dan pelbagai lagi.

Tambahnya lagi, dia turut dilantik sebagai duta kepuk kubur dan batu nisan Fitrah Enterprise milik Baharudin Hassan di mana pendapatannya bergantung kepada tempahan kepuk kubur waris kepada si m@ti.

"Saya masih meminati lakonan kerana jiwa saya didalamnya. Jika tiada aktiviti berlakon, saya akan jadi resah gelisah dan badan akan lemah.

"Namun jika tak berlakon, adalah juga pendapatan hasil dari jualan isteri saya dan tempahan kepuk kubur waris si m@ti yang kebanyakannya peminat saya.

"Saya hanya minta peminat mendoakan kesihatan saya, selain mengharapkan agar sering didatangi tawaran berlakon," katanya.

Terdahulu, Harun pernah melahirkan hasrat untuk menyewa kedai dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) atau Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk membuka kedai pameran kepuk kubur dan batu nisan.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: