02 December 2023

SELAMAT BERNIKAH LAGI - BUNGA CITRA LESTARI KINI ISTERI TIKO ARYAWARDHANA



Sekitar jam 4 petang, hari ini, penyanyi terkenal Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL, 40, selamat bernikah buat kali kedua dengan ahli perniagaan Tiko Aryawardhana, 43, di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia, selepas hampir empat tahun bergelar ibu tunggal.
Berita itu dikongsikan di akaun Instagram kelab peminat BCL dan Tiko iaitu @bcltiko yang memuat naik liputan perjalanan majlis berkenaan.

"Alhamdulillah, sah @tikotiki & @itsmebcl," tulisnya secara ringkas kapsyen pada hantaran itu menerusi Instagram Story.

Klik untuk gambar besar
Sekitar pernikahan BCL dan suami barunya itu turut dikongsikan penyanyi tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya, dimana dia hanya menulis lokasi dan tarikh pernikahannya iaitu Bali, 2 Disember 2023.

Melihat pada perkongsian tersebut, pasangan ini dilihat begitu berseri dalam persalinan busana tradisional berona putih.

Malah, jemputan yang hadir juga turut mengenakan pakaian mengikut tema majlis terbabit.
Semalam, akaun kelab peminat BCL dan Tiko itu juga berkongsi keluarga terdekat kedua pengantin sudah berada di Bali untuk majlis berkenaan.

Sejak berita pernikahan BCL dan Tiko tersebar, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kedua belah pihak untuk mengesahkannya.

Bagaimanapun, sebuah portal berita Indonesia turut melaporkan keluarga Allahyarham Ashraf terutama ibunya, Dida Sinclair sudah memberi restu jika BCL ingin berumah tangga semula.
BCL yang juga ibu kepada anak tunggal, Noah Aidan Sinclair, 12, dikatakan hanya mengundang tidak sampai 100 tetamu untuk menghadiri majlis pernikahannya.

Menurut laporan media di sana, pakej pernikahan di resort mewah itu dianggar bernilai RM100,000 hingga RM600,000.

Untuk makluman, BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: