"Adakah awak sudah bersedia? Jom! Seminggu saja lagi, Insya-Allah," tulis pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, 33, yang berkongsi berita gembira, dimana dia bakal melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya yang juga ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh, 34, pada 21 Januari ini.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram, Atikah turut memuat naik video majlis pertunangannya yang berlangsung secara ringkas di Singapura, Disember lalu.
Sementara itu, menerusi ruangan komen pula, rakan selebriti dan pengikutnya turut menitipkan ucapan tahniah dan mendoakan semoga majlis pernikahan yang dirancang Atikah dan tunangnya itu berjalan lancar.
Dalam pada itu, Atikah yang mengakui berdebar menanti detik pernikahannya ini berkata, momen paling dinanti-nantikannya ialah majlis akad nikah yang bakal menyaksikan dia akan bergelar isteri secara sah kepada Lokman.
"Alhamdulillah saya sudah bertunang Disember tahun lalu, cuma baru kongsi hari ini. Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Ditambah pula saya orang Singapura dan berkahwin dengan orang Malaysia, rasa itu sukar untuk diterjemahkan.
Klik untuk gambar besar
Mengenai lokasi pernikahan, Atikah menjelaskan, atas persetujuan bersama kedua-dua belah keluarga, ia akan diadakan di Kuala Lumpur dan bukannya di Singapura.
"Majlis perkahwinan memang sudah dirancang di Kuala Lumpur dan menghimpunkan kedua-dua belah keluarga. Kami memilih Kuala Lumpur juga kerana keadaan kesihatan nenek Lokman yang kurang sihat.
"Insya-Allah esok saya akan adakan kenduri marhaban pengantin di kediaman di Singapura," katanya yang turut memaklumkan persiapan perkahwinannya kini sekitar 95 peratus.
Dalam pada itu, Atikah yang popular menerusi drama 'Dendam Cinta Arissa' itu memberitahu, selepas berkahwin kelak, setiap tawaran lakonan perlu mendapat keizinan suami.
"Isu kerja juga antara perkara perlu disesuaikan dengan status sebagai isteri nanti. Sebelum ini suka hati nak terima mana-mana tawaran dan hanya berbincang dengan pengurus tetapi selepas ini perlu minta pandangan suami serta minta izin.
"Bakal suami memang tidak halang saya berlakon tetapi setiap watak dan jadual perlu ikut kesesuaian," jelas Atikah atau nama penuhnya, Nur Atikah Mohd Suhaime.
Terdahulu, hubungan Atikah dengan Lokman bukan lagi rahsia apabila mereka didakwa bakal mendirikan rumah tangga selepas memuat naik foto hadir ke kursus kahwin November lalu.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment